Pendakwah terkenal, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi menafikan bahawa pernah dipelawa oleh Exco Agama Islam negeri Perlis untuk mendapatkan tauliah seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Belum pernah buat sebarang pertemuan
Memetik kenyataannya di Instagram, Ustaz Wadi juga mengakui belum pernah membuat sebarang pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).
Bercerita lanjut berkenaan insiden yang berlaku Rabu lalu, beliau telah dijemput untuk menghadiri Program Solat Tarawih dan Sembang Santai di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kampung Abi, Padang Machang, di sini, sekitar pukul 9.45 malam oleh pihak penganjur dan bukanlah majlis pengajian agama.
“Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa program ini bukanlah majlis pengajian agama dan ia hanya program sembang santai bersama masyarakat setempat melibatkan beberapa soalan berkaitan perkembangan badan bukan kerajaan (NGO) kelolaan saya, keadaan terkini ibadat umat Islam di Mekah serta Madinah bersama beberapa kupasan isu semasa.
“Maka, saya menerima jemputan yang diadakan di permis persendirian tersebut dan tidak memerlukan tauliah agama negeri,” katanya.
Surat perintah sudahpun diterima
Mengulas lanjut berkenaan laporan JAIPs akan memanggilnya untuk memberikan keterangan berhubung memberi ceramah tanpa tauliah, Ustaz Wadi mengatakan yang dirinya sudahpun menerima surat perintah hadir siasatan oleh JAIPs pada 7 April depan.
“Disebabkan kekangan masa dan jadual program yang padat, saya sendiri telah memohon untuk mengubah tarikh hadir siasatan berkenaan pada 17 April dan ia turut diterima oleh pihak berkenaan,” katanya.
Sama sekali tidak mempersendakan titah baginda
Ujarnya lagi, beliau sememangnya sentiasa menjunjung perintah Tuanku Syed Sirajuddin dan tidak pernah mempersendakan titah baginda.
“Semoga dengan kenyataan maklum balas ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul dan memperbetulkan semula persepsi negatif yang dilemparkan terhadap saya oleh pihak tidak bertanggungjawab,”tulisnya.
Terdahulu, Ustaz Wadi Annuar telah dipanggil selepas terlibat dalam satu program di Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang. Difahamkan, beliau tidak mempunyai tauliah untuk memberikan ceramah di negeri terbabit.
Satu laporan polis lain turut dibuat di balai polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa dihalang oleh pihak penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi sebelum ini bagi mengambil keterangan berhubung tindakan pendakwah itu memberi ceramah di berkenaan.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) menyatakan yang pendakwah berkenaan bersama penganjur iaitu Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar dikehendaki hadir bagi memberi keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April depan sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan selepas itu.
Sumber: Instagram Wadi Annuar