Gara-gara Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ‘hilang’ sebanyak 21,000 tempat duduk bagi aksi perlawanan Piala AFF 2022 pada Sabtu ini, ramai peminat mula menyerang akaun media sosial penyanyi terkenal Taiwan, Jay Chou.
Difahamkan, tempat duduk di SNBJ ‘lesap’ disebabkan memberi ruang kepada struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan sebelum ia berlangsung pada 15 Januari nanti.
Peminat tak puas hati, konsert lebih diutamakan berbanding perlawanan bola sepak Harimau Malaya
Perkara tersebut sememangnya tidak menggembirakan peminat bola sepak tempatan kerana permintaan untuk menonton perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara skuad Harimau Malaya dengan Thailand pada Sabtu ini.
Susulan itu, ramai bertindak menyerang platform Instagram penyanyi berusia 43 tahun dengan mengaitkan artis luar negara lebih penting berbanding perlawanan pasukan negara sendiri.
Masing-masing sibuk berbalah sesama sendiri dengan mempertahankan keputusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi laluan kepada konsert diteruskan.
Konsert dah rancang, stadium tempah sejak 3 tahun lalu
Dalam pada itu. ada juga netizen memberitahu stadium berkenaan sudah ditempah sejak tiga tahun lalu. Malah, hampir kesemua tiket sudah habis terjual. Namun, ia terpaksa ditunda buat sementara gara-gara pandemik COVID-19 melanda dunia.
Terdahulu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman memberitahu pihaknya dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu, namun situasi itu tidak dapat dielakkan.
“FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik memastikan aksi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF ini dilangsungkan di Stadium Nasional, berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil,”ujarnya.
Sumber: Instagram @jaychou