Selebriti terkenal Bollywood, Salman Khan mengaku dia teringin memiliki zuriat pada usianya yang kini bakal memasuki 57 tahun.
Bagaimanapun, pemilik nama Abdul Rashid Salim Salman Khan memberitahu dia tidak mahu berkahwin atau mempunyai sebarang hubungan dengan ibu kepada cahaya matanya nanti.
“Saya mahu anak tetapi tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan ibunya nanti.
“Tapi, seorang anak pasti perlukan seorang ibu. Tanpa ibu, anak takkan ada,”ujarnya dalam satu sesi temu bual program Mumbai Mirror.
Salman berkata, dia juga sudah membuat persediaan awal seperti mempunyai tempat sesuai untuk mengasuh anaknya tanpa memerlukan bantuan seorang isteri.
“Rasanya tiada masalah jika anak saya tiada ibu sebab saya dah sediakan tempat untuknya nanti,”katanya.
Meskipun Salman tidak pernah memiliki zuriat dan masih belum berkahwin sehingga kini, dia sangat terkenal dengan sikap penyayang terhadap kanak-kanak.
Sekadar info, dia pernah menjalin hubungan percintaan dengan beberapa wanita seperti Somy Ali (dari 1991 hingga 1999) dan model Sangeeta Bijlani (hampir berkahwin).
Bahkan, dia juga pernah terpalit kontroversi bercinta dengan rakan selebriti seperti Aishwarya Rai, Katrina Kaif dan Iulia Vantur. Bagaimanapun, Salamn tidak pernah memberi sebarang kenyataan berhubung kontroversi berkenaan.
Sumber: Times of India