Nama bintang tersohor Hollywood, Kanye West atau dikenali Ye kembali menjadi bualan hangat ramai apabila akaun Twitter miliknya disekat oleh Elon Musk.
Memetik portal The Guardian, Musk berbuat demikian pada Jumaat setelah penyanyi rap kontroversi memuat naik gambar sensitif iaitu memaparkan simbol swastika dan Star of David.
“Akaun miliknya (Ye) digantung kerana menghasut keganasan,” kata Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Twitter.
Selain itu, Ye turut berkongsi gambar tidak berbaju dan disembur dengan air beserta kapsyen ringkas.
“Ayuh kita sentiasa ingat ini ialah tweet terakhir saya,”ciapnya.
Sekadar info, Ye yang juga bekas suami selebriti terkenal, Kim Kardashian dilihat sering mengeluarkan kenyataan berbaur anti-Yahudi dan secara terang-terangan mengakui dia menyukai pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler.
Melihat kepada kenyataan berani dibuat oleh Ye, Musk mengambil tindakan tegas untuk menyekat akaun Twitter milik penyanyi berkenaan. Namun, ada juga dakwaan mengatakan tindakan Musk itu seolah-olah bertentangan dengan prinsip ‘kebebasan bersuara’ yang dilontarkannya sebelum ini.
Musk berkata, dia sudah mencuba sebaik mungkin untuk tidak menyekat akaun Twitter milik Ye, tetapi dia seringkali melanggar garis panduan platform berkenaan.
“Saya dah cuba sebaik mungkin. Tetapi, dia sekali lagi melanggar garis panduan ditetapkan iaitu membuat hasutan keganasan. Akaun akan digantung,”ciap Musk.
I tried my best. Despite that, he again violated our rule against incitement to violence. Account will be suspended.
— Elon Musk (@elonmusk) December 2, 2022
Mana tidaknya, Musk berulang kali menyatakan bahawa beliau percaya semua kandungan yang dibenarkan undang-undang boleh dipaparkan di Twitter yang turut mencetuskan kebimbangan jika bos baharu laman blog mikro berkenaan gagal menapis maklumat palsu di platform tersebut.
Sementara itu, rangkaian Parler telah membatalkan rancangan mereka untuk menjual platform berkenaan kepada Ye kerana semakin lantang bersuara mengenai anti-Yahudi.
“Parlement Technologies mahu mengumumkan persetujuan bersama yang dicapai bersama Ye pada pertengahan bulan lalu telah dibatalkan,” ujar rangkaian itu yang dilihat sebagai medium retorik golongan ekstremis,”ujarnya.
Sumber: The Guardian, Twitter @elonmusk