Seorang lelaki ditahan polis setelah berang terhadap pergaduhan sepasang kekasih lalu bertindak melanggar kereta pasangan itu di sebuah kediaman di Brickfields, Kuala Lumpur.
Memetik laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata video tular tersebut meraih perhatian pihaknya memandangkan suspek memandu kenderaan berkenaan secara bahaya dan mengancam nyawa, semalam.
Foto: Astro Awani
Setelah semakan dilakukan, mangsa yang berusia 40 tahun itu dikatakan telah membuat laporan polis berhubung insiden terbabit pada 24 April lalu.
Jelasnya, perselisihan faham yang berlaku di dalam rumah antara pasangan berkenaan berlaku kira-kira jam 2.15 petang.
“Suspek lelaki berusia 35 tahun yang juga rakan kepada penyewa lain di rumah berkenaan berasa berang dengan pertengkaran pasangan itu.
“Perselisihan faham itu tidak terhenti di dalam rumah, menyebabkan berlakunya kejadian khianat kenderaan apabila suspek didapati dengan sengaja melanggar kenderaan pengadu yang keluar dari parkir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, suspek yang berusia 35 tahun itu kemudiannya berasa berang terhadap bunyi bising itu lalu melanggar kereta mangsa dengan sengaja.
Sehubungan itu, Ku Mashariman berkata, pihak polis telah berjaya menahan pelaku yang berada di sekitar daerah terbabit pada pukul 6.15 petang, Rabu lalu.
“Kenderaan milik pengadu rosak, namun dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Apa kes pulak ? 🤔
buat macam bumper car ea. pic.twitter.com/24RxOZaaiX
— ًِ (@bckupacc99) April 24, 2024
Mengulas lanjut, suspek sememangnya dikehendaki kerana mempunyai rekod jenayah pada tahun 2014 dan bersabit kes jenayah di Cheras.
Difahamkan, suspek kini direman selama tiga hari bermula Rabu sehingga hari ini dan hasil siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Sumber: Kosmo! Online (Azmi Nordin)