Ahli keluarga mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) luah keinginan arwah untuk menaiki helikopter sebelum pencen.
Memetik laporan Harian Metro, mangsa nahas, Nurfarahimi Mohd Saedy dikatakan pernah memaklumkan kepada saudara mara untuk berpencen pada Jun ini serta bakal menetap bersama-sama suaminya di Kuantan.
Foto: Harian Metro
Dalam pada itu, ibu saudara kepada Farah, Laila Fairus menyatakan bahawa anak buahnya itu merupakan individu paling ceria semasa Aidilfitri yang lalu.
“Arwah seorang yang mudah gembira dan pada hari raya (lalu), dia memaklumkan akan pencen, kalau tak salah pada Jun ini,” katanya ketika ditemui di Banggol Jas, Sungai Bayor, Selama.
Jelasnya lagi, mangsa yang berusia 41 tahun itu pernah memberitahu keinginannya untuk menaiki helikopter sebelum pencen memandangkan sepanjang kerjayanya dia tidak pernah merasainya.
Difahamkan, ini merupakan kali ketiga Farah dapat menaiki helikopter selama tiga hari sepanjang latihan raptai itu dijalankan.
Foto: Media Sosial
“Dia juga ada memaklumkan sebelum ini yang dia tak pernah naik helikopter dan teringin nak merasainya sebelum berpencen nanti. Namun tak disangka kejadian seumpama itu berlaku,” ujarnya.
Selain tidak menjangkakan insiden berkenaan bakal menimpa Farah, Laila turut mengungkapkan bahawa keadaan jenazah ibu kepada tiga orang anak ini dalam keadaan sempurna dan hanya terdapat kecederaan di bahagian kepala.
Foto: Harian Metro
“Sepanjang kariernya, arwah sering menghantar gambar dan video-videonya terus kepada saya dan jarang berahsia.
“Malah pagi hari kejadian, dia sempat menghantar (gambar) pemandangan dari udara sebelum tragedi itu,” jelasnya.
Sementara itu, kakak kepada Farah, Nurlaida berkata, arwah adiknya itu sering menghantar kiriman gambar dan video kepadanya termasuklah gambar pemandangan sebelum berlaku kejadian terbabit.
Susulan itu, atas permintaan suami arwah, jenazah Farah bakal dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Damak, Sungai Bayor, Selama.
Sumber: Harian Metro (Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi)