Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman syukur selepas menerima khabar keluarganya selamat di Gaza, Palestin, lapor Harian Metro.
Syukur isteri & anak-anak selamat
Nadir Al-Nuri berkata, selepas tiga hari tidak mendengar khabar mengenai keluarganya, kini dia boleh menarik nafas lega apabila menerima kiriman balas WhatsApp isterinya, Reem Al-Minawi, semalam.
Ujarnya, isteri dan tujuh anaknya berjaya melarikan diri dan berlindung di rumah keluarga, terletak di kawasan penempatan selepas kediaman mereka dibom Israel.
“Jumaat lepas saya hantar WhatsApp, tadi (semalam) mereka balas, alhamdulillah semua masih ok dan Allah jaga (lindung).
“Mereka berjaya melarikan diri dan berlindung di rumah keluarga.
“Mereka masih bertahan dengan makan apa yang ada, yang boleh dimasak dan dibeli,”katanya.
Anak ajak balik makan piza
Khabar gembira itu sekali gus melegakan hatinya yang kini berada di Malaysia atas beberapa urusan ketika konflik Israel-Hamas meletus sejak 7 Oktober lalu.
Nadir Al Nuri berkata, isterinya turut mengirimkan gambar anak mereka sedang membuat pizza selain mengajaknya untuk pulang dan makan bersama.
“Anak saya, Haura’ ajak saya balik makan piza.
“Saya cakap: ‘Insya-Allah Haura’, semoga Allah kumpulkan kita semua dapat makan bersama macam sebelum ini,” katanya lagi.
Isteri sempat minta maaf, suarakan hasrat suami berjuang solidariti Palestin
Kongsi Nadir Al Nuri, isteinya merupakan seorang wanita yang kuat dan tabah apabila dia sendiri merelakan suaminya untuk terus kekal di Malaysia disaat mereka berjuang di Gaza.
Malah, isterinya juga sempat meminta maaf dan meminta untuk reda sekiranya syahid pada bila-bila masa.
“Saya pernah tanya isteri, dia nak tak kalau saya balik (Gaza) untuk bersama mereka, tapi isteri kata kalau balik, saya hanya dapat pertahankan lapan batang tubuh ahli keluarga saja.
“Tapi kalau saya berada di Malaysia dia cakap, khidmat saya memberikan kefahaman dan bangkitkan semangat anak-anak muda Malaysia untuk gerakkan solidariti terhadap pembebasan Palestin akan lebih berkesan.
“Dia sempat minta maaf dan meminta saya reda kalau nyawa dia ditarik pada bila-bila masa,” katanya.
Artikel lain: Bayi 7 Hari Jadi Korban Syahid Termuda Di Gaza
Dalam pada itu, Nadir berharap agar orang ramai tidak putus menghadiahkan doa dan terus menyumbang kerana keadaan di Gaza semakin teruk.
Sehingga kini, sebanyak RM3.2 juta sumbangan berjaya diraih dan disampaikan kepada mereka yang memerlukan di Gaza.
“Bantuan segera untuk kotak makanan, makanan panas dan perubatan bernilai RM1,838,604.75 disalurkan kepada Gaza.
“Sebanyak RM80,370 disalurkan untuk bekalan bahan api, bantuan kewangan bernilai RM1,175,000 serta alat kelengkapan penyelamat (RM145,089),”ujar Nadir.
Orang ramai boleh menyumbang melalui https://emergency4gaza.com/kecemasan atau salurkan ke akaun rasmi Maybank CGM 564810507826 dengan menyatakan rujukan kecemasan.
Semalam, Kementerian Kesihatan Palestin merekodkan, angka korban rakyat Palestin meningkat kepada 5,087 membabitkan 2,055 kanak-kanak, 1,119 wanita dan 217 warga emas manakala 15,273 orang lagi cedera.
Sumber: Harian Metro (Mahaizura Abd Malik), Instagram Nadir Al Nuri