Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Supply Agreement of Renewable Energy (SARE) sebagai usaha bagi pembangunan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon di Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, perjanjian kerjasama itu memfokuskan kepada pembangunan tenaga elektrik, tenaga boleh baharu (TBB) dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan tersebut.
“PPj sedang melaksanakan pembangunan Bandar Pintar berlandaskan Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya (2018-2025) dengan visi meningkatkan suasana kehidupan dan pembangunan mampan pintar ke arah kehidupan yang berkualiti tinggi.
“Bagi memenuhi hasrat ini, beberapa inisiatif telah digariskan dalam Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya (2018-2025) di bawah domain Persekitaran Pintar yang memberi fokus kepada pemantauan data-data penggunaan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon,” katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian ditandatangani Presiden PPj Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan itu selari ke arah menjayakan visi C.H.A.S.E. City (Clean, Healthy, Advanced, Safe & Eco-friendly City) yang digagaskan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) di bawah kepimpinan Dr. Zaliha Mustafa di Hotel Pulse Grande, Putrajaya hari ini.
Dr. Zaliha berkata, PPj turut merangka Roadmap Putrajaya Bandar Rendah Karbon yang menetapkan beberapa sasaran menjelang tahun 2030 untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui peningkatan kegunaan TBB.
“Antaranya adalah 100 peratus Indeks Tenaga Bangunan di bawah 150 kWh untuk setiap meter persegi setahun, 15,000 MWh penjanaan tenaga solar setiap tahun, 33 peratus pengurangan dalam pelepasan GHG mutlak dan 100 peratus lampu jalan menggunakan LED,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Retail TNB Kamal Arifin A. Rahman berkata, pihaknya teruja untuk berganding bahu dengan PPj dalam merealisasikan visi tersebut serta komited menawarkan penyelesaian inovatif yang sejajar dengan aspirasi untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
“la seiring sokongan terhadap inisiatif Kerajaan dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), bagi menjana tenaga lebih bersih dalam usaha mengukuh komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.
Beliau berkata, GSPARX akan memasang sistem solar berkapasiti 363kWp di Kompleks PPj melalui SARE di samping menawarkan tawaran promosi khas solar untuk kediaman (residential solar) kepada warga Putrajaya yang ingin menggunakan tenaga hijau di samping menikmati penjimatan bil elektrik.
“Promosi akan berlangsung selama dua bulan, bermula 1 Jun 2024 sehingga 31 Julai 2024, tertakluk kepada 200 orang terawal. Warga Putrajaya yang berminat boleh membuat permohonan melalui tiga kaedah, iaitu permohonan secara fizikal di Kedai Tenaga Putrajaya, melalui telefon di talian 0103376769 / 01136463837 atau e-mel di [email protected],” jelasnya.
Untuk makluman, kerjasama PPj dan TNB merangkumi pembangunan, penyelenggaraan, penyelidikan dan latihan berkaitan TBB termasuk pembangunan solar bumbung, kenderaan elektrik dan infrastruktur yang berkaitan dengannya, tenaga berkaitan infrastruktur awam serta menjadikan Putrajaya sebagai lokasi makmal hidup (Putrajaya as the Living Lab) untuk teknologi berkaitan tenaga.
Kerjasama itu melibatkan perkongsian, analisa, perancangan dan auditan data berkaitan dengan penggunaan tenaga dan TBB selain mengembangkan inovasi serta penglibatan dari pihak industri yang terlibat dalam pembangunan TBB yang boleh dinikmati warga Putrajaya dari segi penjimatan bil elektrik melalui pakej pembangunan tenaga solar melibatkan premis perumahan persendirian.