Polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan teman lelaki bekas kekasihnya serta merogol wanita berkenaan di Kilometer 12 Jalan Trans Perak berhampiran Kampung Gajah, Rabu lalu. Suspek ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
Suspek ditahan di Kangar
Memetik laporan MalaysiaGazette, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek diberkas menerusi operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Perlis di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar pada jam 3.45 petang semalam.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek bertemu bekas teman wanitanya yang berusia 25 tahun di kawasan sawah padi pada jam 9 pagi, Selasa lalu untuk membincangkan masalah hubungan mereka.
“Semasa pertemuan itu, suspek bertindak mengugut dan merogol wanita tersebut di dalam keretanya.
“Bagaimanapun, pukul 5 pagi, Rabu semasa suspek menghantar wanita itu semula ke keretanya, mangsa berusia 29 tahun itu (teman lelaki wanita tersebut) tiba di lokasi dan bertindak mengejar, melanggar dan menghalang kereta suspek sehingga berhenti.
“Apabila mangsa keluar daripada kereta, suspek terus bertindak menyerang dan menikam perut mangsa dengan pisau sebelum melarikan kereta mangsa dan meninggalkannya di Batu Gajah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Mes Pegawai Kanan Perak, hari ini.
Mohd Alwi berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut selepas suspek membuang senjata berkenaan ke dalam tong sampah di Bandar Kangar.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh serta Seksyen 376 kanun yang sama kerana kesalahan merogol,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Mengulas dakwaan bahawa mangsa diculik sebelum kejadian, beliau menegaskan perkara itu hanyalah spekulasi yang dimainkan oleh netizen.
Terdahulu, media melaporkan polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki menikam seorang lelaki berusia 29 tahun hingga maut dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada cemburu pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 5.49 pagi hari sama.
Artikel lain: Pelajar Universiti Didakwa Tikam Bekas Kekasih, Mengaku Tidak Bersalah
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman ketika berlaku pertengkaran dengan seorang lelaki berusia 30 tahun yang telah dikenal pasti polis.
“Mangsa dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” ujarnya.
Sumber: MalaysiaGazette (Rosdalilah Zahari)







































