Seorang peniaga yang sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun kerana mencederakan bekas isteri hingga koma, dijangka berdepan satu lagi pertuduhan hampir sama membabitkan isteri ketiganya di Mahkamah Sungai Petani, Kedah, Khamis ini.
Lelaki berusia 43 tahun itu, Rosmaini Abdul Raof, sebelum ini dijatuhi hukuman selepas Mahkamah Rayuan menaikkan tempoh penjara daripada 10 kepada 14 tahun pada Isnin.
Bagaimanapun, peguamnya, Kamal Hisham Ja’afar memaklumkan beliau tidak lagi akan mewakili Rosmaini dalam prosiding akan datang, termasuk kes baharu tersebut.
“Sebelum ini, atas dasar profesionalisme selaku seorang peguam, saya akur untuk membela Rosmaini sehingga ke peringkat terakhir di Mahkamah Rayuan namun perkara itu disalahtafsir oleh masyarakat sehingga sanggup memburukkan barisan peguam.
“Sedangkan, saya mewakili Rosmaini secara percuma iaitu ‘pro bono’, selepas isteri pertama dan anak-anaknya merayu meminta pertolongan.
“Jadi, selesainya rayuan ini, saya tidak mewakili Rosmaini lagi, termasuk kes-kes lain pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Rosmaini kini ditahan di Penjara Kajang dan dijangka dibawa ke Kedah dalam masa terdekat bagi menghadapi pertuduhan berkaitan insiden yang menyebabkan isteri ketiganya mengalami keguguran.
Katanya, lelaki itu akan terus ditahan sekurang-kurangnya sehingga Rabu sebelum dipindahkan ke utara tanah air.
Mengulas lanjut, Kamal Hisham berkata anak guamnya menerima keputusan Mahkamah Rayuan dengan hati terbuka, namun masih menafikan kes yang menimpa bekas isterinya.
Tambah beliau, Rosmaini juga tidak akan memfailkan semakan ke Mahkamah Persekutuan.
Artikel lain: Kejam! Jahidah Seperti Mayat Hidup, Hukuman Maksimum Wajar Untuk Bekas Suami – Hakim
Pada Isnin, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenakan hukuman maksimum.
Selain hukuman penjara, Rosmaini turut diperintahkan membayar pampasan RM25,000 kepada mangsa, Jahidah, 48, melalui wakil keluarga yang menjaganya.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.








































