Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menegaskan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta yang sedang disiasat pihak berkuasa tidak melibatkan institusi itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzír Shahari berkata, kes dilaporkan itu membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tiada kaitan dengan pengurusan zakat oleh Zakat Selangor.
Menurutnya, pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung penahanan beberapa individu berkaitan kes berkenaan, namun tidak mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.
“Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi negeri di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan sistem tadbir urus yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pengurusan dana zakat di institusi itu melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan termasuk audit dalaman dan luaran selain semakan pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana diurus secara telus serta terkawal.
“Sehubungan itu, Zakat Selangor mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat dan memastikan pengurusan dilaksanakan mengikut rangka kerja tadbir urus ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merujuk saluran rasmi Zakat Selangor bagi mendapatkan maklumat tepat serta menunaikan zakat melalui platform sah.
Katanya, semua pihak juga diingatkan tidak menyebarkan maklumat tidak benar kerana boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan petang Selasa dalam operasi di sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan pada jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Artikel lain: Skandal Seleweng Dana Zakat? MCW Sifatkan Kerosakan Integriti Serius Dalam Sistem
Susulan itu, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO ditahan reman selama empat hari bermula Rabu hingga 25 April bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret pada Rabu.
Sumber: Sinar Harian(Mohd Izzatul Izuan Tahir)
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































