Hospital Segamat memerlukan tambahan 49 Pegawai Perubatan (MO) bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti berkenaan dapat beroperasi pada tahap lebih ideal dan efisien.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, secara keseluruhan hospital itu memerlukan 169 doktor bagi menampung keperluan semasa, berbanding hanya 120 doktor yang sedang bertugas ketika ini termasuk pakar dan pegawai perubatan.
Hospital Segamat turut berdepan cabaran beban kerja tinggi apabila pelbagai jabatan dan perkhidmatan kritikal terpaksa beroperasi sepanjang 24 jam, sekali gus memberi tekanan kepada petugas kesihatan sedia ada.
“Bagaimanapun, petugas kesihatan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, namun kekurangan tenaga kerja menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih lama dan beberapa janji temu terpaksa dijadualkan semula,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Ling turut turun padang ke Hospital Segamat pagi tadi selepas menerima pelbagai maklum balas orang awam berhubung isu kekurangan petugas kesihatan yang menyebabkan peningkatan masa menunggu di beberapa jabatan.
Artikel lain: Bakal Ditutup 1 Julai Ini? Tak Benar! Hospital Segamat Masih Beroperasi Seperti Biasa
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memohon bantuan penempatan tambahan petugas kesihatan ke hospital berkenaan.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Hospital Segamat akan ditutup bermula 1 Julai, sekali gus menegaskan operasi hospital tersebut kekal berjalan seperti biasa.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































