Di sebalik seragam dan disiplin ketenteraan, tersimpan impian yang selama ini mungkin tertangguh demi tugas dan negara.
Kini menerusi program Work-Based Learning (WBL) Kementerian Pertahanan (MINDEF), anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja diberi peluang menyambung pengajian, malah pengalaman bertahun-tahun dalam perkhidmatan turut diiktiraf sebagai laluan menuju masa depan lebih cerah buat diri dan keluarga.
Program WBL MINDEF membuka lembaran baharu apabila pengalaman dan kepakaran mereka di medan tugas diterjemahkan kepada kelayakan akademik, sekali gus melahirkan bakat negara yang lebih berdaya saing selepas tamat perkhidmatan.
Pegawai Waran Udara II, Mohd Ghadaffi Kamarudin, 41, berkata, peluang menyambung pengajian Diploma Pengajian Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberi impak besar terhadap perkembangan kerjayanya selepas lebih dua dekad berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurut jurulatih jasmani dari Pangkalan Udara Sendayan itu, pendekatan pembelajaran yang menggabungkan akademik dan pengalaman kerja sebenar membantu meningkatkan pengetahuan serta kemahiran profesional.
“Program ini memberi impak yang sangat positif terhadap perkembangan kerjaya saya kerana ia menggabungkan pelajaran akademik dengan pengalaman kerja di tempat kerja.
“Malah, saya dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang pengajian di samping memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan serta disiplin kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Borak Daily selepas menerima Surat Perakuan Tamat Pengajian Kohort 1/2025 sempena Majlis Peluncuran Program WBL MINDEF di Kem Terendak, Melaka hari ini.
Mohd Ghadaffi yang menyertai tentera pada usia 18 tahun berkata, peluang melanjutkan pengajian ketika masih dalam perkhidmatan turut memberi suntikan semangat baharu kepada dirinya.
“Bukan sahaja untuk diri sendiri, tapi akademik ini membantu saya untuk kejayaan selepas tamat perkhidmatan nanti,” ujarnya.
Jelasnya, bidang pengajian yang diambil juga sangat berkait rapat dengan tugas semasa sebagai jurulatih jasmani sekali gus memudahkan proses pembelajaran dan aplikasi dalam tugasan harian.
Bagi Staf Sarjan Siti Nur Aini Jasni, 41, pula, perjalanan menamatkan Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) datang bersama cabaran tersendiri.
Sebagai anggota Tim Akrobatik Army Red Warrior dan ibu kepada dua orang anak yang sedang membesar, membahagikan masa antara keluarga, kerjaya dan pengajian bukan sesuatu yang mudah.
Namun di sebalik kesibukan itu, anak-anak menjadi sumber kekuatan paling besar buat dirinya.
“Anak-anak saya menjadi individu yang paling banyak memberi semangat kerana mereka melihat bagaimana saya membahagikan masa antara keluarga, pekerjaan dan pelajaran,” katanya.
Beliau yang telah berkhidmat hampir 22 tahun berkata, peluang melanjutkan pengajian ketika masih dalam perkhidmatan memberi ruang kepada anggota untuk meningkatkan keyakinan diri serta memperbaiki taraf hidup.
“Pada usia 40-an ini juga saya mampu menggenggam segulung diploma kerana saya masuk tentera hanya dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja,” ujarnya penuh syukur.
Dalam pada itu, Pegawai Waran 1 Peperangan Bawah Permukaan Senjata (PBS) Mohd Suhaily Azlan Ahmad, 38, menyifatkan program WBL sebagai platform yang membuka keyakinan baharu buat warga ATM untuk terus meningkatkan potensi diri.
Beliau berharap lebih ramai warga ATM memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi program WBL kerana manfaatnya cukup besar, bukan sahaja ketika dalam perkhidmatan tetapi juga selepas bersara nanti.
“Saya berharap lebih ramai warga ATM mengambil peluang menyertai program WBL kerana ia bukan sahaja meningkatkan kelulusan akademik, malah membantu membina keyakinan diri dan persediaan untuk masa depan,” kata graduan Diploma Perkhidmatan Teknologi Pertahanan UPNM itu.
Ketiga-tiga mereka antara 36 penerima Surat Perakuan Tamat Pengajian WBL Kohort 1/2025.
Berbeza pula buat Pegawai Waran Udara II Wanita, Inthumathi a/p Ramachandren, 40, yang bakal memulakan pengajian pada Jun ini menerusi program WBL selepas lebih 21 tahun berkhidmat dalam TUDM.
Ketua kerani di Depoh Materiel Utama, Pangkalan Udara Subang itu berkata, peluang menyambung pengajian hadir tepat pada masanya untuk beliau meningkatkan tahap akademik dan membuka laluan lebih luas pada masa depan.
“Saya rasa ini masa untuk saya tingkatkan nilai akademik saya supaya boleh pergi lebih jauh. Selepas diploma nanti, saya juga berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda.
“Malah, saya gembira dan bangga kerana pada umur begini saya masih diberi peluang menjadi pelajar.
“Pada masa sama, boleh menjadi contoh kepada anak-anak serta anggota bawahan di unit saya,” kongsinya yang menerima Surat Tawaran Pengajian WBL Kohort 2/2026 bersama 23 penerima yang lain.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan program WBL diwujudkan bagi memastikan anggota ATM mempunyai nilai pasaran kerja yang lebih baik selepas tamat perkhidmatan, khususnya bagi mereka yang menyertai tentera dengan kelayakan SPM.
Menurut beliau, tanpa intervensi seperti program WBL, ramai anggota berisiko berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan stabil selepas bersara pada usia muda sekali gus mendedahkan mereka kepada tekanan ekonomi dan masalah sosial.
“Rata-rata anggota tentera masuk ke dalam ATM hanya dengan berbekalkan SPM.
“Kalau tiada apa-apa intervensi dibuat, mereka akan keluar juga dengan SPM dan ini tentunya merumitkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan dalam pasaran kerja yang sangat kompetitif,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program WBL MINDEF tersebut.
Tambah Mohamed Khaled, sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat, anggota ATM sebenarnya memiliki pengalaman, kemahiran dan kecekapan tinggi namun kebolehan tersebut sukar diiktiraf industri kerana tiada pengesahan akademik formal.
“Kalau mereka tak cekap, bagaimana kereta, tank dan aset-aset pertahanan boleh berfungsi dengan baik? Mereka memang ada kemahiran, tetapi industri tidak mengiktiraf kerana tiada sijil formal.
“Sebab itu kita bawa konsep WBL ini ke dalam ATM supaya pengalaman dan kemahiran sepanjang perkhidmatan dapat dinilai universiti dan diterjemahkan kepada diploma,” tambahnya lagi.
Jelas sekali, program WBL bukan sekadar program pendidikan sebaliknya menjadi simbol bahawa anggota ATM juga mampu melangkah lebih jauh, berkembang seiring keperluan semasa dan membina masa depan dengan ilmu, pengalaman serta keyakinan baharu.
Pada majlis sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara ATM dengan UPNM, UiTM dan City University Malaysia sebagai simbol pengukuhan kerjasama strategik dalam pelaksanaan program berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan reruai pendidikan institusi pengajian tinggi dan Karnival Pendidikan Anak-Anak ATM bagi meningkatkan kesedaran mengenai peluang pendidikan kepada warga ATM dan keluarga mereka.
Turut hadir Panglima Tentera Laut mewakili Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Muhammad Huzaimi Sabri; Pegawai Kanan ATM dan Awam MINDEF serta wakil institusi pengajian tinggi yang terlibat.







































