Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

Program PROWIRA RTW Graduan Jadi Harapan Baharu, Buka Laluan Kerjaya Anak Warga Tentera

Di tengah-tengah cabaran pasaran kerja yang semakin kompetitif, Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan muncul sebagai sinar baharu buat anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih mencari tempat dalam dunia pekerjaan.

Inisiatif strategik ini digerakkan oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dalam memperkukuh agenda kesejahteraan warga pertahanan, khususnya dari aspek pendidikan dan pembangunan bakat.

Ia bukan sekadar program latihan, tetapi satu usaha untuk melahirkan graduan yang lebih bersedia, berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri semasa.

Selaras dengan usaha meningkatkan kualiti hidup warga ATM, Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan memberi peluang kepada anak-anak anggota untuk melalui pengalaman kerja sebenar di syarikat terpilih, sekaligus menjadi jambatan antara alam pengajian dan alam pekerjaan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Empat bulan mencabar sebelum peluang tiba

Bagi graduan, Nurzharif Azinuddin Noraizat, 24, fasa selepas tamat pengajian bukanlah sesuatu yang mudah. Tempoh empat bulan mencari pekerjaan disifatkannya sebagai satu tempoh yang mencabar apabila banyak permohonan tidak mendapat maklum balas daripada syarikat.

Menurutnya, situasi itu menimbulkan tekanan apabila janji untuk dihubungi semula sering kali tidak menjadi kenyataan.

Namun, penyertaannya dalam Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan membuka semula harapan untuk membina pengalaman dalam industri sebenar.

Menurut graduan jurusan Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Pintar daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), peluang ini bukan sekadar latihan, tetapi laluan ke arah kerjaya tetap.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Walaupun ini program latihan, ia sebenarnya jambatan ke dunia pekerjaan. Kalau saya menunjukkan prestasi baik, saya berharap boleh diserap masuk sebagai pekerja tetap,” katanya ketika ditemui di Majlis Peluncuran Program PROWIRA-Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia turut menyambut baik insentif elaun RM2,000 yang diperkenalkan dalam program tersebut, menyifatkannya sebagai bantuan bermakna bagi graduan yang terlibat.

“Bagi orang lain mungkin nampak kecil, tapi bagi kami yang masih belum bekerja tetap, ia sangat membantu. Ia juga sedikit sebanyak mengurangkan beban fikiran ibu bapa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nurzharif berharap pengalaman industri yang diperoleh dapat menjadi nilai tambah untuk masa hadapan.

“Saya harap pengalaman ini jadi nilai tambah. Kalau bukan di sini, mungkin di tempat lain yang lihat pengalaman saya dalam program ini,” tambahnya lagi.

Laluan pantas ke dunia pekerjaan

Bagi seorang lagi graduan, Fara Wardina Fazir, 24, graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan disifatkan sebagai “laluan pantas” ke alam pekerjaan berbanding kaedah pencarian kerja konvensional.

“Saya rasa sangat teruja sebab Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan ini lebih kepada fast track dan memberi peluang jaringan dengan syarikat-syarikat yang bekerjasama,” katanya.

Fara mengakui proses mencari kerja selepas tamat pengajian bukan sesuatu yang mudah, khususnya dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Saya memang ada mohon di banyak platform, tapi agak mencabar untuk dapatkan peluang.
“Program ini lebih efisien dan proaktif berbanding portal pekerjaan biasa,” jelasnya.

Tambahnya lagi, cabaran utama graduan hari ini ialah keperluan industri terhadap pensijilan tambahan serta pengalaman kerja walaupun untuk jawatan peringkat permulaan.

“Banyak industri perlukan certification dan pengalaman, jadi ia jadi sedikit kekangan untuk fresh graduate seperti saya,” kongsinya.

Namun, beliau melihat program ini sebagai satu inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kebolehpasaran graduan anak warga tentera.

“Saya rasa program ini sangat efektif, terutama untuk bantu graduan dapat peluang pekerjaan dan pengalaman sebenar industri,” ujarnya.

RM7.2 juta untuk 300 graduan

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan merupakan inisiatif baharu bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan dalam kalangan anak anggota ATM, kakitangan berkaitan serta anak veteran.

Beliau berkata, program tersebut melibatkan penyertaan 300 graduan dengan peruntukan sebanyak RM7.2 juta yang akan ditempatkan di syarikat-syarikat terpilih selama 12 bulan melalui kerjasama industri.

Advertisement. Scroll to continue reading.

“Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan ini kita buka kepada graduan anak anggota, anak kakitangan dan juga anak veteran ATM.
“Mereka akan ditempatkan di syarikat terlibat bagi memberi pendedahan serta pengalaman kerja sebenar,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh program, peserta akan menerima elaun sebanyak RM2,000 sebulan yang ditanggung oleh kerajaan melalui Yayasan LTAT, manakala syarikat terlibat tidak diwajibkan menanggung gaji asas peserta.

Dalam masa sama, beliau menggalakkan pihak industri untuk menilai potensi peserta dan menawarkan pekerjaan tetap sekiranya prestasi mereka memuaskan.

“Sepanjang mereka berada di syarikat, mereka menerima elaun daripada kerajaan. Kalau syarikat lihat mereka ini bagus dan berpotensi, tidak ada masalah untuk beri tambahan elaun atau terus ambil sebagai pekerja tetap,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan industri amat penting bagi memastikan program ini memberi impak langsung kepada kebolehpasaran graduan serta membantu meningkatkan sosio-ekonomi keluarga tentera.

Ternyata Program PROWIRA-Ready To Work (RTW) Graduan kini dilihat bukan sekadar sebuah inisiatif latihan, tetapi sebuah platform transisi yang menghubungkan harapan, kemahiran dan masa depan khususnya buat anak-anak warga pertahanan yang sedang melangkah ke dunia pekerjaan sebenar.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Turut hadir pada majlis peluncuran tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Datuk Dr Nizar Sudin.

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Seorang lelaki warga emas yang memandu van sehingga menyebabkan kematian seorang murid perempuan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong pada Selasa...

Dunia

Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay mengarahkan penutupan segera 717 premis jualan arak milik TASMAC yang dikenal pasti terletak berhampiran kawasan sensitif termasuk...

Lokal

Seorang pelayan bar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang wanita muda dalam...

Lokal

Hampir dua tahun selepas tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India, keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi bercadang menuntut pampasan sebanyak RM800,000 daripada Dewan Bandaraya...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd