Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Gunakan Media Sosial Memartabat Bahasa Melayu

Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan bahasa, menghadapi cabaran yang semakin ketara, iaitu kemerosotan taraf penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda. Bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan, semakin terpinggir dalam kehidupan harian, terutamanya dalam kalangan golongan muda, lagi-lagi mereka yang menetap di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Fenomena ini mengejutkan dan memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak untuk menangani isu ini sebelum ia menjadi lebih berat dan berleluasa.

Memartabat Bahasa Melayu

Tempoh hari, seluruh negara terkesima dengan adanya warganegara Malaysia yang langsung tidak berkebolehan untuk bertutur dalam Bahasa Melayu apabila ditanya soalan semasa membaharui pasportnya. Susulan itu, individu-individu yang sama sepertinya dalam kegagalan menguasai Bahasa Melayu bersuara dan turut terdedah di media sosial. Perkara ini sangat memalukan dan membimbangkan kerana Bahasa Melayu memiliki peranan penting dalam membentuk identiti negara, dan kegagalan untuk menguasai bahasa kebangsaan berpotensi mencalarkan keperibadian nusa dan bangsa. Pelbagai tindak balas negatif telah dikemukakan oleh warga netizen, beberapa daripadanya berbunyi “rampas pasportnya!” dan “pindahlah ke negara lain!”, tetapi itu bukanlah sikap yang diingini atau perbuatan yang sah di sisi undang-undang.

Salah satu daripada punca utama kemerosotan ini ialah pengaruh globalisasi dan anasir luaran. Anak-anak muda kini lebih terdedah kepada media dan hiburan luar negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Malah terdapat juga mereka yang lebih tertarik dengan bahasa asing seperti bahasa Korea, oleh sebab gelombang K-Pop yang kian berkembang. Tambahan pula, penggunaan bahasa selain daripada Bahasa Melayu dalam persekitaran digital dan media sosial turut menyumbang kepada kekurangan penggunaan Bahasa Melayu.

Meskipun pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing sangat digalakkan, bahasa kebangsaan semestinya diberi keutamaan. Kita hendaklah berbalik kepada asal- usul kita dan sedar bahawa kita berpijak di bumi Malaysia, iaitu gabungan kata ‘Malays’ dan imbuhan Latin-Yunani ‘-ia’ yang membawa maksud “bumi orang Melayu”. Amat mengaibkan jika terdapat orang berbangsa Melayu yang menetap di bumi orang Melayu tetapi tidak boleh bercakap bahasa orang Melayu. Janganlah kita diumpamakan kacang lupakan kulit seperti sejenis kelompok yang dipalitkan dengan istilah “Bangsar bubble” yang sering disindir sebagai golongan yang tidak fasih bertutur dalam Bahasa Melayu walaupun ramai dalam kalangan mereka berbangsa Melayu.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Memartabat Bahasa Melayu

Artikel lain: PABM 2023 Angkat Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ulung

Untuk menangani masalah ini, kita sepatutnya menyelami gaya hidup generasi muda dan melihat dunia daripada lensa hidup mereka. Sudah tentu ramai dalam kalangan mereka menggunakan apps seperti TikTok, Instagram, X (dahulu dikenali sebagai Twitter), dan lain-lain. Oleh itu, pelbagai langkah yang menerapkan penggunaan teknologi semasa dapat diatur untuk menarik minat generasi muda untuk menggunakan Bahasa Melayu secara lebih kerap dan konsisten. Misalnya, bukan sahaja pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun institusi-institusi pengajian tinggi tempatan, bahkan sesiapa juga yang cakna juga seeloknya mempelawa pempengaruh di media sosial yang sangat mengetahui cara dan ragam generasi muda untuk menghasilkan konten atau kandungan berkenaan dengan Bahasa Melayu, budaya Melayu, dan sebagainya. Di samping itu, bagus juga jika kita menggunakan dan menggalakkan tanda pagar yang menarik seperti #BanggaBM supaya kandungan tersebut menular di medsos. Kini terdapat sebilangan pempengaruh yang terkenal dengan kandungannya yang memberi petunjuk dan nasihat mengenai Bahasa Melayu, contohnya Cikgu Zack Kirana (@zackkirana27 di TikTok), Dr. Faizul (@malaylingwist di X) dan lain-lain.  Antara aneka cara untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda:• Siri pendidikan Bahasa Melayu: Rakamkan siri pendek tentang kekayaan Bahasa Melayu di Instagram dan kongsikan fakta menarik, simpulan bahasa dan peribahasa yang unik, atau sejarah perkataan dalam Bahasa Melayu.

• Sayembara kreatif Bahasa Melayu: Anjurkan pertandingan video pendek, persembahan komedi, atau karya seni digital dalam Bahasa Melayu di TikTok dan berikan hadiah yang menggalakkan penyertaan.

• Wawancara dalam Bahasa Melayu: Rakamkan audio siar atau podcast di Spotify dengan tokoh terkenal, penulis, atau personaliti yang menggunakan Bahasa Melayu.

Advertisement. Scroll to continue reading.

• Rancangan bual-bualan Bahasa Melayu: Adakan rancangan bual-bualan atau temu ramah menggunakan fungsi Space di X dan fokus pada isu-isu semasa, hiburan, atau perkembangan terkini dalam Bahasa Melayu.

• Wujudkan komuniti Bahasa Melayu: Bangunkan komuniti dalam talian yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Melayu di platform seperti X, Discord, Telegram, atau WhatsApp, untuk dijadikan tempat untuk berkongsi kisah, tips belajar, atau bahan bacaan dalam Bahasa Melayu.

Melalui pendekatan ini, generasi muda dapat melibatkan diri dalam proses pemartabatan Bahasa Melayu dengan cara yang menyeronokkan dan bermakna di dunia media sosial yang semakin berkembang pesat. Dengan mengambil langkah-langkah bersepadu dan melibatkan semua pihak, kita mampu menyelamatkan bahasa kebangsaan ini daripada kemungkinan kehilangan kehebatannya dalam komuniti tempatan dan antarabangsa.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dalam mempertahankan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang megah.

Advertisement. Scroll to continue reading.
Dr. Amir Rashad Mustaffa
+ posts

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa-Bahasa Malaysia dan Linguistik Terapan, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]

Avatar

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa-Bahasa Malaysia dan Linguistik Terapan, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sukan

Atlet kayak Malaysia, Siti Nurul Masyitah Elias dilaporkan cedera parah selepas dipercayai dilanggar oleh pemandu mabuk pada Sabtu. Menerusi satu perkongsian di Instagram, Persatuan...

Kolumnis

Malaysia sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 33.7 juta (DoSM, 2024). Daripada jumlah penduduk ini, generasi dan usia dibahagikan kepada beberapa lapisan iaitu...

Dunia

Bekas menteri di Kazakhstan dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun atas kesalahan memukul dan membunuh isterinya pada November tahun lalu. Memetik laporan The Astana Times,...

Lokal

Empat dewan bedah di Pusat Jantung Hospital Serdang dilaporkan sudah tidak boleh digunakan kerana kesemuanya menghadapi masalah penyelenggaraan. Memetik laporan The Star, Hospital Serdang...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd