Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, mengesahkan edisi Piala Dunia kali ini merupakan penampilan terakhirnya di pentas bola sepak paling berprestij dunia selepas Portugal tersingkir di pusingan 16 terbaik susulan kekalahan 0-1 kepada Sepanyol di Stadium AT&T, awal pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Mikel Merino pada minit pertama masa kecederaan babak kedua, sekali gus memastikan Sepanyol mara ke suku akhir dengan menyingkirkan seteru dari Semenanjung Iberia itu.
Sebaik wisel penamat dibunyikan, Ronaldo yang kelihatan sebak mengesat air mata sebelum memberikan tepukan penghargaan kepada penyokong Portugal yang hadir memenuhi stadium.
Pada usia 41 tahun, beliau menutup tirai karier Piala Dunianya dengan 27 penampilan, kedua terbanyak dalam sejarah kejohanan selepas Lionel Messi yang membuat 30 penampilan.
Namun, trofi Piala Dunia kekal menjadi satu-satunya gelaran utama yang tidak pernah berjaya diraih sepanjang karier gemilangnya.
Bercakap kepada media selepas perlawanan, Ronaldo mengakui kecewa apabila gagal mengakhiri perjalanan di Piala Dunia dengan keputusan yang diimpikan.
“Saya sedih meninggalkan Piala Dunia dengan cara ini. Seperti yang saya katakan semalam, saya telah memberikan segala-galanya dan saya meninggalkan kejohanan ini dengan hati yang tenang.
“Itulah kehidupan seorang pemain bola sepak. Kita perlu terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Ronaldo turut mengesahkan bahawa kejohanan kali ini merupakan penampilan terakhirnya di Piala Dunia, namun masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan Portugal.
“Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya. Tetapi mengenai perkara lain, masih ada masa untuk saya berfikir, bersama keluarga dan tidak membuat keputusan ketika emosi masih menguasai diri,” tambahnya.
Bekas penyerang Manchester United, Real Madrid CF dan Juventus FC itu sebelum ini mengimpikan untuk membawa Portugal ke suku akhir Piala Dunia buat dua edisi berturut-turut, namun impian tersebut tidak kesampaian.
Ronaldo menamatkan karier Piala Dunia sebagai pemegang rekod penjaring terbanyak di peringkat antarabangsa dengan 146 gol serta pemain yang paling banyak membuat penampilan antarabangsa menerusi 233 aksi.
Beliau turut membantu Portugal muncul juara UEFA Euro 2016 selain memenangi dua gelaran UEFA Nations League. Bagaimanapun, pencapaian terbaiknya di Piala Dunia hanyalah mara ke separuh akhir pada edisi 2006.
“Saya telah memberikan segala-galanya. Saya telah memenangi tiga kejuaraan bersama Portugal.
“Kejuaraan Euro 2016 berada pada tahap yang sama seperti memenangi Piala Dunia,” ujarnya.
Perlawanan menentang Sepanyol turut menjadi penutup kepada perjalanan Ronaldo di pentas Piala Dunia, lapan tahun selepas beliau mencipta hatrik ketika bertemu lawan sama pada aksi pembukaan edisi 2018.
Secara keseluruhan, pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu menamatkan saingan Piala Dunia dengan 11 gol, sekali gus berkongsi kedudukan kesembilan dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman. Beliau juga muncul sebagai pemain pertama dalam sejarah yang berjaya menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia.
Sementara itu, ketua jurulatih Portugal, Roberto Martínez, menyifatkan Ronaldo sebagai seorang kapten yang menjadi contoh kepada seluruh pasukan dan ikon bola sepak dunia.
“Beliau merupakan seorang kapten yang cukup luar biasa,” kata Martínez.
“Saya menyertai Portugal ketika banyak kekeliruan dan keraguan mengenai Cristiano, namun beliau membuktikan dirinya sebagai contoh terbaik, bukan sahaja melalui jaringan gol atau bantuan gol, malah komitmennya serta cara beliau menghayati bola sepak. Beliau menjadi teladan kepada semua,” ujarnya.
Martínez berkata, sumbangan Ronaldo kepada Portugal tidak boleh dipertikaikan dan wajar dikenang oleh semua.
“Kita sedang bercakap mengenai seorang ikon bola sepak. Tidak ramai pemain seperti Cristiano Ronaldo. Kita perlu menghargai segala yang telah dilakukannya pada Piala Dunia ini.
“Beliau benar-benar mahu memenangi kejohanan ini. Sebagai pemain, kapten dan juga insan, beliau akan sentiasa menjadi contoh kepada semua,” tambahnya.
Artikel lain: “Ini Piala Dunia Terakhir Saya, Akan Tinggalkan Sukan Ini Dengan Tenang”- Ronaldo
Dalam masa sama, Martínez mempertahankan keputusannya mengekalkan Ronaldo di atas padang sepanjang 90 minit meskipun Portugal memerlukan jaringan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
“Apabila sesebuah pasukan memerlukan gol, anda tidak boleh mengeluarkan Cristiano Ronaldo.
“Dia mampu bermain selama 90 minit tanpa sebarang masalah. Kehadirannya membuka ruang, selain sentiasa berbahaya dalam situasi bola mati dan di dalam kotak penalti.
“Jika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan, mungkin lebih sesuai menggunakan Gonçalo Ramos. Namun sepanjang 90 minit, tidak masuk akal untuk mengeluarkan penjaring utama pasukan,” katanya.
Sumber: ESPN











































