Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) merayu agar kerajaan tidak meneruskan rancangan menghantar pulang 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar kerana mendakwa keselamatan mereka masih belum terjamin.
Status Rohingya tidak bernegara
Memetik laporan daripada Sinar HarianPresidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani menyatakan, status Rohingya sebagai golongan tidak bernegara menyebabkan mereka berdepan risiko sekiranya dihantar pulang ketika konflik di Myanmar masih berlarutan.
Menurut beliau, tindakan itu juga didakwa bercanggah dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang melarang seseorang dipulangkan ke lokasi yang boleh mengancam nyawa atau keselamatan mereka.
“Merhrom merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar menghentikan pengusiran 5,000 orang Rohingya ke Myanmar memandangkan nyawa mereka akan terancam. Rohingya tidak mempunyai kewarganegaraan.
“Bagaimana ASEAN dan komuniti antarabangsa boleh menjamin keselamatan kami di Myanmar? Tindakan ini jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa yang melarang pemulangan seseorang ke tempat di mana nyawa mereka terancam,” katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia hasil rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.
Menurut Anwar, langkah itu merupakan permulaan dalam usaha menangani isu berkenaan di samping memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus dipelihara.
Myanmar tidak selamat kepada mereka yang dihantar pulang
Mengulas lanjut, Zafar Ahmad mendakwa keadaan di Myanmar masih tidak selamat dan individu yang dihantar pulang berisiko dipaksa menyertai tentera Myanmar.
“Rohingya yang dihantar pulang berisiko dipaksa menyertai tentera Myanmar tanpa latihan serta dijadikan perisai manusia dalam konflik tentera negara itu dengan kumpulan etnik lain,” dakwanya.
Beliau turut berharap kerajaan mendapatkan pandangan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan wakil Rohingya sebelum membuat keputusan, selain menggesa Malaysia, ASEAN dan komuniti antarabangsa memperhebat usaha menamatkan konflik di Myanmar.
Merhrom juga berharap lebih ramai pelarian Rohingya diberi peluang ditempatkan di negara ketiga melalui kerjasama dengan UNHCR.
Sumber: Sinar Harian (Raiham Mohd Sanusi)








































