Connect with us

Hi, what are you looking for?

Sosial

Mesin Padi Terjunam Dalam Sungai: Remaja Lelaki Ditemui Lemas, Bapa Reda Wajah Anak Bersih & Tenang

Jasad penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, ditemui pada hari kedua operasi selepas hilang dalam insiden mesin padi terhumban ke sungai Kampung Sanglang, dekat sini pada Sabtu.

Mangsa dijumpai pada jam 10.01 pagi kira-kira 10 meter dari lokasi awal kejadian pada kedalaman empat meter oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang melakukan selaman di dasar sungai.

Ketua BBP Jitra, Noor Azhar Tajudin berkata, operasi hari kedua bermula jam 8.30 pagi dengan pencarian dijalankan dalam radius 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi membabitkan 41 anggota termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bantuan empat bot penyelamat.
“Mayat mangsa telah dibuat pengecaman oleh waris di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau memaklumkan, jasad mangsa berjaya dikesan selepas mesin padi yang terjatuh ke sungai diangkat menggunakan kren pada jam 11 malam Sabtu.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Kita memperluaskan pencarian mangsa pada Ahad sejak mangsa dilaporkan hilang semalam (Sabtu).
“Operasi Pusat Kawalan Bomba (PKB) Sanglang ditutup sepenuhnya pada jam 10.53 pagi,” katanya.

Remaja Lelaki Ditemui Lemas

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Menurutnya, laporan berhubung kes diterima jam 3.45 petang Sabtu selepas sebuah jentera mesin padi terjatuh ke dalam sungai berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Air Hitam.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu jentera mesin padi bersama tiga rakannya selesai menuai padi.
“Difahamkan, semasa menaikkan jentera itu, pemandu telah terlajak dan menjunam masuk ke dalam sungai. Mangsa lain berjaya berenang ke tepi namun mangsa yang maut dilihat terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus,” katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas manakala tiga rakannya selamat selepas mesin padi yang dinaiki mereka terjatuh ke sungai berhampiran SMK Sanglang.

Bapa mangsa, Masri Hassan, 43, meluahkan rasa syukur apabila jasad anak sulung daripada dua beradik itu akhirnya ditemukan.

“Alhamdulillah! Jumpa juga anak saya,” katanya dipetik Kosmo! Online. 

Artikel lain: Kereta Terjunam Dalam Sungai: Dua Beradik Maut, Ibu Bapa Selamat

Bekas tentera itu memberitahu, dia tidak berganjak dari lokasi kejadian sejak semalam dan hanya pulang ke rumah di Sungai Korok, Jitra untuk menunaikan solat sebelum kembali semula ke lokasi.

“Pagi ini saya pulang untuk solat Subuh dan buat solat hajat berdoa supaya anak saya ditemukan secepat mungkin. Saya dan keluarga reda serta menerima seadanya apa yang menimpa anak kami ini.
“Alhamdulillah, pagi ini anak kami ditemukan. Bersih wajahnya nampak tenang sahaja,” katanya sebak.

Difahamkan, mangsa mengikuti tiga rakan sekampungnya ke lokasi itu kerana bercuti tiga hari sempena Maulidur Rasul serta cuti hujung minggu.

Sumber: Kosmo! Online (Jamliah Abdullah), Sinar Harian (Roslinda Hashim), FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah

Advertisement. Scroll to continue reading.

Farah Nadia
Ditulis oleh

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Sebuah kedai scones popular di Cameron Highlands menjadi perhatian ramai selepas tular beberapa tangkap layar di platform Threads yang didakwa melibatkan interaksi akaun media...

Sosial

Pempengaruh media sosial terkenal, Alieff Irfan bersama rakan-rakannya dari AI Team dikecam selepas didakwa membuat lawak parodi yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW. Kontroversi...

Dunia

Polis kini sedang mengesan anak kepada seorang wanita berusia 63 tahun yang ditahan di Nigeria selepas dipercayai cuba menyeludup 31 kilogram (kg) dadah jenis...

Lokal

Seorang ibu muda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan selepas dipercayai mencampak...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd