Gara-gara tindakan negara Teluk menutup ruang udara susulan serangan Iran ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar, beberapa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa dibatalkan.
Menurut laporan Harian Metro, perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang memberitahu antara penerbangan Batik Air yang dalam perjalanan ke Dubai tetapi terpaksa berpatah balik ketika berada di kawasan Lautan Hindi.
Penerbangan KLIA dibatalkan
“Memang ada beberapa penerbangan yang terjejas dan saya dimaklumkan satu penerbangan Batik Air ke Dubai terpaksa berpatah balik apabila tiba di kawasan Lautan Hindi disebabkan penutupan ruang udara,” katanya.
Beliau menjelaskan, syarikat penerbangan yang terlibat perlu mengambil langkah segera bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi penumpang, termasuk menyediakan penginapan dan kemudahan sewajarnya sementara menunggu situasi kembali pulih.
“Syarikat penerbangan yang terlibat perlu melaksanakan langkah-langkah mitigasi seperti menyediakan tempat penginapan dan sebagainya kepada pelanggan, sementara menunggu ruang udara dibuka semula untuk penerbangan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Pameran dan Persidangan Transport Expo Asia (TXA) 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalannya Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan.
Artikel lain: Kecurian Kabel Bukan Jenayah Biasa, Perlu Tindakan Tegas – Loke
Penerbangan KLIA dibatalkan
Kata Loke lagi, syarikat luar juga turut menerima tempias akibat penutupan ruang udara secara tiba-tiba dan notis Anak Kapal Udara (NOTAM) sudah dikeluarkan.
“Pendirian kita adalah syarikat penerbangan perlu mengambil langkah berwaspada sekiranya terdapat sebarang risiko.
“Sekiranya ruang udara ditutup, memang tidak boleh lakukan penerbangan ke kawasan berkenaan dan perlu ambil tindakan berpatah balik atau batal penerbangan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 61 jemaah umrah terkandas lebih empat jam di KLIA selepas penerbangan mereka ke Jeddah dibatalkan pada saat akhir.
Kejadian tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga dan pengurusan agensi pelancongan yang terlibat.
Difahamkan, pembatalan dan perubahan laluan penerbangan ini dipercayai berpunca daripada faktor geopolitik yang melibatkan penutupan sementara beberapa ruang udara antarabangsa.
Pihak Kementerian Pengangkutan bersama syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan awam kini sedang memantau situasi dari semasa ke semasa.
Sumber: Harian Metro (Samadi Ahmad)
