Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan kesediaan untuk membantu pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia termasuk dalam aspek kesihatan mental dan sokongan psikologi sekiranya beliau memerlukannya.
KBS sedia beri bantuan pada bila-bila masa
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, segala bentuk bantuan akan disalurkan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), yang sememangnya menawarkan perkhidmatan kepada semua atlet, termasuk pemain profesional yang tidak berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Foto: BH
“MSN dan ISN telah pun menghubungi Zii Jia. Beliau juga mempunyai nombor telefon saya serta akses terus kepada Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, dan atlet senior lain. Saya sendiri pernah bertemu beliau semasa perbincangan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, pihak KBS bersedia memberikan sebarang bantuan pada bila-bila masa, asalkan Zii Jia bersedia untuk berbincang.

Foto: Carian Google
Kenyataan itu dibuat Hannah dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), hari ini.
Artikel lain: Posting Penuh Misteri Lee Zii Jia Cetus Tanda Tanya Peminat

Foto: IG Zii Jia
Sebelum ini, timbul kebimbangan dalam kalangan peminat dan warga sukan apabila Zii Jia memuat naik hantaran di Instagram yang memaparkan sebuah lukisan dengan unsur melankolia dan kemurungan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kesihatan mentalnya.
Sumber: Berita Harian
