Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Harmonisasi Undang-Undang Perlu Diterokai

Pada 28 Ogos 2023, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencadangkan supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kompetensi Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Secara khususnya, ia menyentuh mengenai bidang kuasa negeri di bawah Senarai 2 Jadual Kesembilan mengenai frasa “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.”

Menyahut titah Sultan Selangor di atas, pelbagai cadangan dikemukakan antaranya ialah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan. Baginda turut menyarankan agar dicari jalan untuk membolehkan kuasa yang lebih luas diberi kepada Dewan Undangan Negeri dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah. Ada juga gesaan agar jenayah dimasukkan di bawah Senarai Bersama. Al-Marhum Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim pernah menyarankan pemansuhan Akta 355 bagi menjadikan kesalahan hudud sebagai kesalahan terhadap agama. Hudud adalah hukuman yang paling ekstrem boleh dikenakan jikalau kaedah dan standard pembuktian yang ada menepati standard hudud. Jika tidak, hukuman takzir sahajalah yang boleh dikenakan sama ada kesalahan itu berada di bawah Kanun Keseksaan atau enakmen kesalahan jenayah syariah.

Persoalannya ialah sejauh manakah pentafsiran dan parameter kesalahan terhadap perintah agama yang tidak termasuk dalam jenayah yang berada di bawah Senarai Persekutuan? Adakah bermakna jika kesalahan itu tiada dalam statut jenayah awam, maka ia boleh menjadi kesalahan terhadap agama? Setakat kes Iki Putra Mubarrak (2021), Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa Badan Perundangan Negeri Selangor telah memasuki kuasa Persekutuan apabila meluluskan kesalahan persetubuhan bertentangan dengan tabie di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Ertinya, ia adalah kesalahan jenayah, bukan kesalahan terhadap agama. Hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Jika liwat menjadi kesalahan terhadap agama, hukumannya hanya kepada orang Islam sahaja. Adakah adil untuk menghukum pesalah berdasarkan agama dan diwujudkan di bawah dua undang-undang? Hakikatnya, kedua-dua hukuman sivil dan syariah yang diperuntukkan adalah hukuman takzir, justeru memadai wujud hanya satu undang-undang untuk kesalahan liwat.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Jenayah di bawah Senarai Persekutuan adalah perbuatan yang dijadikan kesalahan sama ada terhadap negara, masyarakat, harta dan sebagainya yang bertujuan menjaga kepentingan awam.

Intipati sebenar kesalahan syariah adalah kesalahan terhadap agama. Perbuatan yang dijadikan kesalahan adalah perbuatan yang dilarang oleh agama dari pelbagai sudut sama ada dari segi kepercayaan, amalan, perbuatan dan sebagainya. Secara luaran, ia menjejaskan nama baik agama, menghina agama, merosakkan institusi agama. Ada yang agama larang seperti perbuatan mengumpat, meninggalkan solat fardu, makan benda haram dan sebagainya tetapi ia tidak dijadikan kesalahan. Ia bukan lebihan kepada Senarai Persekutuan. Ia adalah yang selain daripada yang ada di bawah Senarai Persekutuan.

Pembahagian jenayah dan kesalahan tidak dihadkan berdasarkan hukuman hudud, qisas dan takzir sahaja. Takrifan jenayah dan kesalahan boleh dilihat dari pelbagai aspek. Dari segi liabiliti, jenayah terbahagi kepada sengaja, separa sengaja dan tidak sengaja. Dari segi subjek, ia terbahagi kepada kesalahan terhadap negara, harta, individu dan sebagainya. Pendek kata, takrifan jenayah umpama bawang yang perlu diselak satu persatu.

Jika Perlembagaan Persekutuan telah mengasingkan jenayah dengan kesalahan terhadap perintah agama, sepatutnya tidak timbul sebarang konflik. Jika hudud yang diharapkan, terokailah bagaimana kaedah pembuktiannya dapat ditegakkan sebelum kesalahan dan hukuman hudud dapat diadakan. Jika tidak, maka memadailah dengan hukuman takzir walau di mana sahaja kesalahan itu diletakkan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Nabi Muhammad SAW sendiri menyarankan agar hukuman hudud dielakkan jika tidak menepati syarat. Kesalahan dan hukuman perbuatan mencuri, merompak, memfitnah, berperang melawan pemerintah sudah sesuai sebagai kesalahan awam. Kesalahan membabitkan moral seperti liwat, pelacuran, rogol dan rogol mahram juga lebih sesuai dijadikan kesalahan awam kerana ia dapat dikuatkuasakan secara umum dengan hukuman yang lebih berat. Hukuman takzir bagi kesalahan tersebut adalah sesuai dengan kaedah dan standard pembuktian sedia ada.

Suatu pendekatan yang harmoni tanpa konflik hendaklah diambil dalam menyelesaikan perkara ini. Pentafsiran kepada preclusion clause diharap dapat dibuat ke arah yang memberi manfaat kepada agama, umat Islam dan negara, serta dalam semangat kebersamaan dan harmoni. Rapatkan jurang antara undang-undang jenayah dan kesalahan terhadap agama agar kedua-duanya saling melengkapi. Tamatkan mentaliti dualiti dan sekularisme dalam undang-undang dengan kembali menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan. Tiada istilah jenayah sekular atau jenayah Islamik.

Tanpa menamakan sesuatu statut sebagai undang-undang Islam tidak bermakna ia tidak Islamik. Parameter baharu mengikut undang-undang harus diteroka biar pun tidak popular.

PENULISAN OLEH:

Advertisement. Scroll to continue reading.

 

Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail

Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah

 

Advertisement. Scroll to continue reading.
Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail
+ posts

Dr. Siti Zubaidah Ismail merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, manakala Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah adalah calon kedoktoran Universiti Malaya.

Avatar

Dr. Siti Zubaidah Ismail merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, manakala Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah adalah calon kedoktoran Universiti Malaya.

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sukan

Atlet kayak Malaysia, Siti Nurul Masyitah Elias dilaporkan cedera parah selepas dipercayai dilanggar oleh pemandu mabuk pada Sabtu. Menerusi satu perkongsian di Instagram, Persatuan...

Kolumnis

Malaysia sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 33.7 juta (DoSM, 2024). Daripada jumlah penduduk ini, generasi dan usia dibahagikan kepada beberapa lapisan iaitu...

Lokal

Seorang bayi perempuan baru dilahirkan ditemui berbalut dengan kain batik dalam kotak di atas jalan berhampiran Gua Tempurung di Gopeng, Ahad lalu. Memetik laporan...

Sosial

Seorang pempengaruh media sosial yang berasal dari Sumatera Indonesia bertindak mengkritik seorang wakil rakyat mengenai kerosakan jalan di Kabupaten Lampung Selatan melalui beberapa hantaran...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd