Semalam, Eden Hazard umum bersara pada usia 32 tahun selepas lebih 16 tahun berpengalaman sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Hazard menerusi hantaran di Instagramnya yang menganggap keputusannya untuk berhenti dari bidang tersebut adalah tepat pada masanya.
Eden Hazard umum bersara
Difahamkan, Hazard bersetuju menamatkan kontrak bersama Real Madrid setahun lebih awal pada musim panas selepas menandatangani kontrak lima tahun pada 2019 bernilai £89 juta (RM516 juta).
Bukan itu sahaja, dia hanya tampil 76 perlawanan sepanjang empat musim di Sepanyol dan sekadar menjaringkan tujuh gol.
Artikel lain: Baru Berusia 36 Tahun, Lionel Messi Tak Terfikir Lagi Nak Bersara
Kerap mengalami kecederaan membuatkan kariernya di La Liga bertukar suram tidak seperti di Chelsea apabila dia meledak 110 gol dalam 352 perlawanan dan menjulang dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Anda mesti dengar dengan diri sendiri dan berhenti pada masa yang tepat. Selepas 16 tahun dan lebih 700 aksi profesional, saya membuat keputusan menamatkan karier sebagai pemain profesional.
“Saya berjaya mencapai impian, saya bermain dan bergembira di atas pelbagai padang di serata dunia. Sepanjang karier saya bertuah bertemu pengurus hebat, jurulatih dan rakan sepasukan. Terima kasih semua, saya pasti rindukan anda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hazard menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak yang sentiasa menyokongnya ketika susah dan senang sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.
“Saya juga berterima kasih kelab yang saya pernah beraksi: LOSC, Chelsea dan Real Madrid; serta terima kasih kepada RBFA untuk saya tersenarai dalam skuad kebangsaan.
“Terima kasih istimewa kepada keluarga, rakan, penasihat dan penyokong yang tetap setia dengan saya ketika senang dan susah.
“Kini detik untuk saya menikmati masa bersama insan tersayang dan mencari pengalaman baharu. Jumpa anda semua di luar padang tidak lama lagi,” katanya.
Sumber: Daily Mail