Seorang ahli perniagaan diarahkan menjalani hukuman penjara lima tahun bermula hari ini selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadapnya atas tiga pertuduhan mengugut, mencederakan dan menghina dua pengawal peribadinya pada 2021.
Tolak rayuan difailkan tertuduh
Memetik laporan daripada Bernama, Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim menolak rayuan yang difailkan Chung Chee Yang, 48, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini, selain memutuskan kesalahan dilakukan adalah serius dan memerlukan hukuman setimpal.
“Tindakan mendera dan melakukan kekasaran kepada pekerja sendiri yang mencari nafkah untuk kelangsungan hidup wajar dibanteras sepenuhnya agar tiada lagi kejadian seperti ini berlaku pada masa hadapan.
“Perbuatan menghina tuhan agama lain satu perbuatan hina dan tidak wajar diucapkan oleh orang yang dikatakan banyak berbakti kepada masyarakat berbilang kaum,”katanya.
Dalam penghakimannya, beliau berkata hukuman yang diputuskan Mahkamah Majistret sebelum ini berada dalam lingkungan yang dibenarkan undang-undang serta setimpal dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan hukuman penjara bagi ketiga-tiga pertuduhan berjalan secara serentak bermula hari ini, sekali gus menjadikan tempoh hukuman keseluruhan lima tahun.
Mahkamah turut menolak permohonan peguam yang mewakili Chung, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.
Terdahulu, pada Mac 2025, Mahkamah Majistret Klang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 terhadap Chung selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan tersebut.
Bagi pertuduhan pertama, Chung didakwa mengugut pengawal peribadinya, Mohd Azminizam Zulkepli, dengan mengacukan sepucuk pistol.
Selain itu, dia turut didakwa mengeluarkan kata-kata yang bertujuan melukakan perasaan keagamaan dengan mengaitkan perkataan Allah dan ibadah puasa di hadapan Mohd Azminizam serta seorang lagi pengawal peribadinya, Ahmad Shamsuri Zailani.
Chung juga didapati bersalah kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang antara jam 9.30 malam hingga 10.30 malam pada 13 April 2021.
Sumber: Bernama






































