Mulai esok, seramai 4.37 juta pekerja di negara ini akan menikmati kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, berbanding RM1,500 sebelum ini.
Memetik laporan Harian Metro, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan bahawa perintah gaji minimum baharu ini terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih, serta majikan yang terlibat dalam aktiviti profesional, tanpa mengira bilangan pekerja yang mereka ambil bekerja.
Seramai 4.37 juta pekerja menikmati kenaikan gaji minimum
Foto: Arkib NSTP
Namun, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum baharu ini akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025. Langkah ini memberi masa yang mencukupi kepada majikan untuk membuat penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat mereka.
“Perubahan ini akan memberi manfaat kepada 4.37 juta pekerja dan selaras dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan keadilan sosial serta kesejahteraan rakyat, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan inklusif,” kata Kesuma dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Selain itu, ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk “Menaikkan Lantai” ekonomi negara, dengan meningkatkan kuasa beli rakyat yang seterusnya dapat memperbaiki kualiti hidup mereka.
Foto: Facebook Kementerian Sumber Manusia
Kesuma turut mengingatkan bahawa semua majikan diwajibkan untuk mematuhi perintah gaji minimum ini dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dianggap sebagai kesalahan dan boleh dikenakan denda di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Bagi memastikan kelancaran peralihan, Kesuma telah menyediakan beberapa inisiatif sokongan untuk majikan dan pekerja, termasuk saluran aduan dan pemantauan melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah, dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.
Kesuma juga bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memberikan panduan dan bantuan kepada syarikat yang memerlukan penyesuaian dalam struktur gaji mereka.
Foto: Facebook Kementerian Sumber Manusia
Artikel lain: KESUMA Laksana Enam Inisiatif Utama, Perkasa Modal Insan Dan Lindungi Hak Pekerja
Dalam pada itu, Kesuma mengingatkan bahawa gaji minimum seharusnya bukan dijadikan penanda aras untuk gaji permulaan, terutamanya bagi siswazah. Pekerja perlu diberi gaji yang setimpal dengan kemahiran dan kelayakan yang mereka miliki.
Pelaksanaan perintah gaji minimum ini adalah sebahagian daripada pendekatan besar Kesuma untuk meningkatkan pendapatan pekerja melalui Dasar Gaji Progresif, selain usaha memperkukuhkan latihan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti dan gaji pekerja.
Oleh itu, dengan pelaksanaan yang berkesan, langkah ini diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sumber: Harian Metro, Facebook Kementerian Sumber Manusia