“Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT, adalah untuk memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan, dan dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi dan mampan untuk meningkatkan daya tahan kewangan LTAT serta menjamin kebajikan pencarum LTAT dalam jangka panjang.
“Transaksi akan dilaksanakan dengan ketelusan dan integriti yang tinggi,”menurut kenyataan.
Dalam pada itu, LTAT juga ingin menegaskan bahawa semua transaksi yang dilakukan adalah sejajar dengan kepentingan strategik negara seperti yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.
Menjelaskan mengenai dua transaksi yang dirujuk, LTAT menegaskan bahawa ia serta syarikat kumpulannya tidak memiliki sebarang tanah di Batu Kawan.
“Kenyataan mengenai pelupusan tanah ini adalah tidak benar dan mengelirukan,”tegas LTAT.
Sementara itu, mengenai transaksi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), LTAT berkata Boustead Properties (BProp) telah menjemput 19 syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta, untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan (RFP).
Katanya, daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu EcoWorld, syarikat milik majoriti Bumiputera, telah mengemukakan cadangan setelah melalui proses tender yang ketat dan telus.
“EcoWorld, melalui syarikat usaha sama Mutiara Balau Sdn Bhd (MBSB), di mana BProp merupakan pemegang saham minoriti, telah dipilih selepas penilaian yang menyeluruh.
“Faktor utama dalam keputusan ini termasuk tawaran komersial kompetitif EcoWorld, cadangan pembangunan yang inovatif, kedudukan kewangan yang kukuh, dan rekod pencapaian yang terbukti di Malaysia serta pasaran antarabangsa,”jelasnya.
Katanya lagu, pelupusan tanah di Semenyih kepada MBSB bertujuan untuk memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sedang berkembang, meningkatkan nilai, serta menyokong objektif Ekonomi MADANI.
Advertisement. Scroll to continue reading.
Selain itu, hasil tunai daripada transaksi ini akan memainkan peranan penting dalam membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation Bhd (BPlant), memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi.
“Pendekatan strategik ini bukan sahaja akan mengukuhkan kelestarian jangka panjang syarikat, tetapi juga sejajar dengan keutamaan negara melalui pengoptimuman penggunaan tanah untuk pertumbuhan ekonomi.
“Berganding bersama dengan GLC lain, sebarang transaksi korporat Kumpulan LTAT bertujuan untuk menyokong pembangunan sektor strategik ekonomi utama, termasuk industri berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui, yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ekonomi Malaysia,”ujar LTAT.
Pelan penstrukturan baharu ini bertujuan untuk mengurangkan penumpuan asetnya dalam pelaburan Boustead-Affin kepada 35 peratus, berbanding sasaran 50 peratus dalam pelan sebelumnya.
Langkah ini akan memberi penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan terhadap cabaran portfolio LTAT, selaras dengan cadangan PAC.
LTAT kekal komited untuk menjaga kepentingan pencarumnya dan memastikan keselamatan kewangan mereka.
Advertisement. Scroll to continue reading.
Katanya, melalui penekanan terhadap pertumbuhan strategik, pengurusan aset yang berhemah dan berhikmah, dan kelestarian jangka panjang dana, LTAT melaksanakan langkah bertanggungjawab untuk membina masa depan yang stabil dan berdaya tahan demi kesejahteraan semua pencarum.