Dua mayat wanita yang ditemui di dalam longkang belakang bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala di Alor Setar pada Isnin adalah dua beranak dan dipercayai warga asing.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata mayat yang ditemui sekitar 5 petang itu adalah mayat wanita berusia 34 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Mayat dua beranak dalam longkang dipercayai warga asing
Foto: Harian Metro
Katanya, mayat dua beranak itu ditemukan orang awam sebelum menghubungi pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar pada 5.04 petang.
“Sejurus selepas menerima laporan berhubung kejadian itu, pasukan penyiasat digerakkan ke lokasi untuk melakukan siasatan awal.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil.
Mereka ditemukan dengan kesan kelar pada leher kedua-dua mayat,” katanya.
Foto: Bernama
Tambahnya, mayat kedua beranak yang dipercayai warga asing itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat.
Artikel lain: Muhyiddin Tegaskan Ucapan Di Nenggiri Adalah Fakta, Tiada Maksud Hina Institusi Raja
Katanya, berdasarkan risikan pantas yang dilakukan, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang dipercayai suami dan bapa kepada kedua-dua mangsa pada 9 malam pada Isnin di Masjid Bukit Pinang di Alor Setar.
“Tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar esok bagi tujuan permohonan tahanan reman untuk meneruskan siasatan lanjut.
“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Siti Nor Salawati memaklumkan kes ini disiasati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Foto: Harian Metro
Sementara itu, polis meminta kerjasama daripada individu atau pihak yang mempunyaai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Asisten Superintendan Faizul Izuan Harun di talian 04-7747222.
Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli)