Seorang wanita ditemui maut selepas dipercayai dikelar oleh suaminya sendiri sekali gus meninggalkan 12 kesan luka pada anggota badan mangsa di sebuah pangsapuri di Klang, Selangor pada 7 Jun lalu.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong menyatakan bahawa mangsa yang berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan.
Foto: Utusan Malaysia
Menurut Cha, adik suspek telah membuat laporan dengan memberitahu bahawa abangnya telah melakukan perbuatan membunuh pada sekitar jam 7.58 pagi, Jumaat lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa mempunyai masalah rumah tangga sejak perkahwinan mereka dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati 12 belas luka hiris dan kelar di anggota badan mangsa seperti telinga, pipi, dagu, leher, bahu, lengan, jari manis dan kelingking serta kepala.
Jelasnya, kematian tersebut dipercayai berpunca daripada luka kelar pada leher yang telah memotong saluran pernafasan dan tulang leher mangsa.
Video: X @update11111
“Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu diberkas pada hari sama serta direman tujuh hari, bermula semalam hingga 14 Jun ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” ujarnya.
Sekadar info, mangsa dan suspek dikatakan memiliki seorang cahaya mata berusia enam bulan.
Sumber: Bernama