Seorang lagi guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka menjadi mangsa keempat meninggal dunia selepas nahas rombongan bas dalam perjalanan ke Terengganu pada Ahad.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, mangsa Dahlia Ahmad telah menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) jam 9.30 malam tadi.
Foto: Berita Harian
Nor Azman berkata, seramai 25 mangsa telah dibenarkan keluar setelah menerima rawatan pesakit luar manakala 10 lagi masih menerima rawatan.
“Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya.
Pemergian mangsa yang berusia 52 tahun itu menjadikan jumlah mangsa maut empat orang iaitu Penolong Kanan SK Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29; dan pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60.
Foto: FB Adzira Adzman
Terdahulu, nahas berlaku ketika bas yang membawa seramai 39 penumpang termasuk dua pemandu itu hilang kawalan lalu melanggar sebuah treler membawa muatan gelung besi sebelum terbalik di cerun jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau.
Difahamkan, bas persiaran tersebut dalam perjalanan membawa rombongan guru sekolah bersama anak mereka untuk menghadiri program penanda aras di Terengganu.
Sumber: Berita Harian (Asrol Awang)