Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan tidak berhasrat untuk undur diri dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag untuk Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan selewat-lewatnya akhir tahun depan.
Menurut laporan Harian Metro, Bung Moktar berkata, adalah tidak wajar sekiranya sebagai seorang ‘panglima’ atau Ketua UMNO Sabah untuk mengundurkan diri.
Foto: FB Bung Moktar Radin
“Sebagai ketua panglima Umno Sabah, saya rasa tidak patut ‘gostan’ (berundur),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa Umno Sabah bersama media dan anak yatim di Kota Kinabalu semalam.
Bung Moktar turut menyatakan kesediaannya untuk memberi laluan kepada percalonan baru dengan syarat penggantinya tersebut mampu menjadikan UMNO lebih kuat di Sabah berbanding di bawah pimpinannya yang sedia ada.
“Kalau ada jaminan Umno Sabah akan bertambah kuat kalau bukan di bawah pimpinan saya, saya boleh lepaskan (kerusi),” ujar beliau.
Kerusi DUN Lamag yang disandangnya sejak 2020 merupakan antara tiga kerusi DUN, selain Sukau dan Kuamut dalam Parlimen Kinabatangan yang telah disandangnya sejak beberapa penggal yang lalu.
Foto: Sinar Harian
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga berkata, untuk menggalas misi parti bagi memenangi sebanyak mungkin kerusi yang akan ditandingi pada PRN17 nanti, UMNO Sabah akan mengemukakan beberapa muka baharu dalam pencolonannya.
Terdahulu, Bung Moktar ada menyatakan kesediaan UMNO Sabah bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) bagi berdepan dengan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 akan datang.
Sumber: Harian Metro (Izwan Abdullah)