Enam bekas tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel mendakwa mereka telah didera, dicabul dan dikenakan hukuman kolektif oleh pengawal.
Menurut laporan BBC, perbuatan terkutuk itu dilakukan dalam beberapa minggu selepas serangan pejuang Hamas ke atas Isreel pada 7 Oktober lalu.
Tahanan Palestin ini juga mendakwa telah dipukul pengawal penjara Israel dengan kayu, dicabul, diserang menggunakan anjing.
Bukan itu sahaja, bahkan makanan, tilam, bantal serta selimut mereka turut dirampas oleh pengawal penjara Israel sebelum dibebaskan.
Persatuan Banduan Palestin berkata, beberapa pengawal didakwa kencing ke atas badan tahanan yang digari, manakala enam tahanan lagi didakwa maut sewaktu dalam tahanan Israel sejak tujuh minggu lalu.
Bagaimanapun, maklumat kematian enam tahanan tersebit tidak dilaporkan oleh regim Zionis.
Salah seorang tahanan yang dibebaskan Israel, Mohammed Nazzal, 18, menyatakan sehingga kini dia tidak mengetahui punca dirinya ditangkap oleh tentera Israel.
Ceritanya, selama 10 hari dalam tahanan, pengawal penjara Israel cuba menggertak tahanan dengan bertepuk tangan dan menjerit nama.
Kemudiannya, mereka akan memukul tahanan sehingga cuba mematahkan tangan serta kakinya.
“Apabila mereka melihat kami tidak bertindak balas, mereka mula memukul kami. Mereka menyuruh kami berdiri, dengan banduan lebih berusia di belakang dan yang muda di hadapan.
“Mereka kemudian menarik saya dan mula memukul saya. Saya cuba melindungi kepala saya dan mereka cuba mematahkan kaki serta tangan saya pula,” katanya.
Katanya lagi, pengawal penjara berkenaan akan menendang mereka dengan menggunakan kayu termasuk memijak mukanya.
“Mereka masuk dengan anjing mereka dan membiarkannya menyerang kami, sebelum mereka memukul kami lagi. Jari kedua-dua belah tangan saya patah,” katanya sambil menunjukkan kecederaan di belakang dan bahunya.
Bagaimanapun, perkhidmatan Penjara Israel menafikan cerita Mohammed dengan mendakwa mereka telah membawa remaja tersebut menjalani pemeriksaan doktor sebelum dibebaskan dari penjara.
Hasil laporan kesihatan mendapati Mohammed tidak mengalami sebarang kecederaan seperti mana dinyatakannya.
Seorang lagi tahanan, Lama Khater mendakwa banduan wanita termasuk dirinya kerap diancam akan dirogol di Penjara Damon.
Banduan Palestin lain juga menggambarkan perkara yang sama di dalam penjara Israel selepas serangan Hamas dan menganggapnya sebagai ‘balas dendam’ terhadap tahanan Palestin atas tindakan Hamas.
Ketua Persatuan Banduan Palestin, Abdullah al-Zaghary, berkata ramai banduan menyaksikan rakan dalam sel dipukul dengan ganas pada muka dan badan mereka.
Sementara itu, aktivis pro-Palestin, Ahed Tamimi, yang dibebaskan dari penjara Israel baru-baru ini, berkata tahanan wanita dilayan dengan buruk.
“Tiada tiada air atau makanan, ada 30 lagi banduan wanita yang ditahan, kami tidur atas lantai, ada yang tanpa pakaian dan kami didera setiap hari,” katanya,”ujarnya.
Artikel lain: Tawanan Israel Mahu Jadi Rakan Baik Pejuang Palestin Selepas Dibebaskan
Sumber: BBC