Kegigihan seorang pemuda dikenali sebagai Wan yang sanggup bekerja sejak usia 15 tahun demi membantu keluarga meraih perhatian ramai selepas kisahnya tular di media sosial.
Menerusi perkongsian di Facebook Storiemy, Wan yang kini berusia 23 tahun memaklumkan dia sudah empat tahun bekerja sebagai pengutip sampah di sekitar Kuantan selain melakukan kerja sambilan di sebuah kedai makan bagi menampung keperluan harian.
“Umur saya sekarang 23 tahun. Saya bekerja sebagai pengutip sampah dah empat tahun.
“Saya ada dua kerja. Satu lagi sebagai part time di kedai makan.
“Umur 15 tahun saya dah mula bekerja. Keluarga ada masalah sedikit. Jadi, saya ambil keputusan untuk berhenti sekolah dan bantu keluarga.
“Saya memilih untuk hadapi semua ini demi keluarga saya. Saya ada tiga orang adik yang masih bersekolah.
“Saya nak mereka habiskan pelajaran. Saya tak habis tidak mengapa,”katanya.
Menurutnya, keputusan meninggalkan persekolahan dibuat demi memastikan adik-beradiknya dapat meneruskan pendidikan tanpa beban kewangan.
Wan berkata, dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan yang halal selagi tidak menyusahkan orang lain dan mampu meringankan beban kedua ibu bapanya.
“Saya buat apa saja kerja. Yang penting halal dan tak ganggu orang. Yang penting, dekatkan diri dengan Allah.
“Ibu bapa adalah satu semangat dan motivasi untuk saya teruskan kehidupan. Janji boleh ringankan beban mereka,”ujarnya.
Sumber: FB Storiemy









































