Johor Darul Ta’zim mencipta satu lagi sejarah dalam bola sepak tempatan apabila membenam Kelantan The Real Warriors 14-1 pada aksi terakhir Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
JDT samai rekod dunia
Memetik laporan Bernama, kejayaan besar itu bukan sahaja muncul sebagai kemenangan paling besar dalam sejarah Liga Super, malah menyaksikan skuad Harimau Selatan menyamai rekod dunia milik kelab ASEC Mimosas apabila mencatat 108 perlawanan tanpa kalah sejak musim 2021.
Anak buah Xisco Munoz mempamerkan aksi cukup dominan apabila meledak lapan gol pada separuh masa pertama sebelum menambah enam lagi jaringan pada babak kedua.
Penyerang sensasi, Bergson Da Silva menjadi watak utama kemenangan itu selepas menjaringkan enam gol masing-masing pada minit pertama, ke-11, ke-36, ke-41, ke-52 dan ke-83 sekali gus menjadikan jumlah jaringan liganya musim ini kepada 27 gol.
Turut menyerlah ialah pemain sayap, Manuel Hidalgo yang mencipta hatrik menerusi gol pada minit ke-16, ke-25 dan ke-62 selain memainkan peranan penting dalam gerakan serangan JDT.
Jaringan lain Harimau Selatan disumbangkan oleh Antonio Glauder pada minit ke-18, Stuart Wilkin (m-38), Yago Cesar (m-50), Mohamed Syamer Kutty Abba (m-85) dan Teto Martin pada minit ke-88.
Pasukan pelawat kendalian Zairul Fitree Ishak hanya mampu memperoleh gol sagu hati menerusi Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik pada minit ke-64.
Keputusan itu mengesahkan lagi penguasaan JDT yang menjuarai Liga Super buat musim ke-12 berturut-turut selain menamatkan kempen liga tanpa sebarang kekalahan.
Sementara itu, aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menyaksikan Negeri Sembilan FC bangkit mengikat Kuala Lumpur City FC 2-2 dalam perlawanan yang sarat drama dan kad merah.
Negeri Sembilan terlebih dahulu berada di depan hasil sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Ahmad Khuzaimi Piee pada minit ke-16.
Bagaimanapun, KL City berjaya menyamakan kedudukan menerusi Victor Ruiz Abril pada minit ke-25 selepas pantas menyambar bola muntah hasil sepakan penaltinya yang ditepis penjaga gol, Muhammad Azri Abdul Ghani.
Tuan rumah kemudian mendahului 2-1 pada minit ke-39 apabila Nicolao Manuel Dumitru Cardoso mudah menolak masuk hantaran Victor Ruiz untuk memastikan KL City menutup babak pertama dengan kelebihan satu gol.
Suasana perlawanan mula tegang pada minit ke-80 susulan insiden pelanggaran membabitkan kapten KL City, Giancarlo Gallifuoco dan Joseph Esso.
Insiden itu turut menyaksikan penolong ketua jurulatih KL City, Prijaca Edin dilayangkan kad merah ketika pengadil melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Hasil semakan VAR tersebut, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Aday Ali Abdulraheem Kharroub pada minit ke-81 untuk mengikat kedudukan 2-2.
Artikel lain: Dentuman Bunga Api Antara Punca Sanfrecce Hiroshima Tewas Kepada JDT
Drama terus memuncak apabila ketua jurulatih KL City, Vidakovic Savic Risto turut diperintah keluar padang pada minit ke-83 selepas membantah keputusan pengadil sebelum perlawanan berakhir tanpa tambahan jaringan.
Sumber: Bernama







































