Tindakan pantas seorang jururawat yang kebetulan berada di lokasi berjaya menyelamatkan seorang wanita yang mengalami sesak nafas akibat tercekik dalam kejadian di Pantai Hospital Ipoh pada 4 Mei lalu.
Menurut kenyataan dikongsikan pihak hospital, Jururawat Staf 2B, Siti Maisyura ketika itu baru sahaja selesai menjalani syif malam sebelum menunggu temu janji susulan anaknya berhampiran kawasan The Coffee Bean & Tea Leaf di hospital berkenaan.
Walaupun berada dalam keadaan berpakaian kasual dan secara rasmi tidak bertugas, beliau tetap tampil membantu selepas menyedari seorang wanita tiba-tiba tercekik serta mengalami kesukaran bernafas.
Situasi itu turut mencetuskan panik dalam kalangan ahli keluarga mangsa yang segera meminta pertolongan orang ramai.
Tanpa berlengah, Maisyura terus memberikan bantuan kecemasan dengan melakukan kaedah Heimlich berdasarkan latihan serta pengalamannya sebagai petugas kesihatan.
Tindakannya berjaya apabila halangan pada saluran pernafasan mangsa dapat dikeluarkan sebelum wanita terbabit kembali bernafas seperti biasa beberapa ketika kemudian.
Artikel lain: Hidupkan Jiwa Malaysia! Jururawat Melayu Suap Pesakit Warga Emas India Terima Penghargaan Menteri Kesihatan
Perkongsian mengenai tindakan jururawat berkenaan turut menerima pujian ramai yang menyifatkannya sebagai wira sebenar walaupun sedang berada di luar waktu bertugas.
Malah, tindakan itu juga dilihat bertepatan dengan tema Hari Jururawat Antarabangsa 2026 oleh International Council of Nurses iaitu “Jururawat Kita, Masa Depan Kita: Jururawat Berdaya Memperkasa Menyelamatkan Nyawa.”
Sumber: FB Pantai Hospital Ipoh
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































