Kegembiraan sepasang suami isteri menyambut kelahiran cahaya mata bertukar menjadi detik mencemaskan apabila bayi perempuan mereka didakwa tertukar dengan seorang bayi lelaki ketika menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan baru-baru ini.
Dua-dua bayi pakai tag nama ibu sama
Lebih mengejutkan, kedua-dua bayi yang tertukar itu didapati memakai tanda nama milik ibu kepada bayi perempuan berkenaan sehingga menimbulkan persoalan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pihak hospital.

Sekadar gambar hiasan
Bayi perempuan tapi diterima bayi lelaki
Memetik laporan daripada Harian Metro, bapa bayi terbabit, Muhammad Harraz Haziq menyatakan, isterinya selamat melahirkan bayi perempuan pada 7 April lalu sebelum anak mereka dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Menurutnya, bayi mereka sepatutnya dibenarkan keluar pada 8 April, namun terpaksa ditahan kerana mengalami masalah jaundis.
“Pada malam 8 April, jururawat datang untuk mengambil bayi kami bagi tujuan ujian darah. Kira-kira jam 5 pagi esoknya, jururawat memulangkan semula bayi dan meletakkannya di dalam inkubator.
“Bagaimanapun, pada jam 6 pagi, isteri saya mula perasan ada sesuatu yang tidak kena dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bayi yang diserahkan itu adalah bayi lelaki, bukannya anak perempuan kami,” katanya.
Pihak wad seolah-olah pertikaikan jantina bayi
Muhammad Harraz turut mendakwa pihak wad pada awalnya seolah-olah mempertikaikan kenyataannya mengenai jantina sebenar bayi mereka.
“Mereka (jururawat) mempertikaikan dan menyoal saya kembali, adakah betul anak saya ini perempuan? Nasib baik saya bertindak awal dengan mengambil gambar borang pengesahan kelahiran anak ketika isteri baru lepas bersalin sebagai bukti.
“Anak perempuan saya akhirnya ditemui pada hari yang sama (9 April). Namun, apa yang paling menghairankan saya, macam mana bayi lelaki dan bayi perempuan saya itu kedua-duanya boleh memakai tanda nama isteri saya?” soalnya.
Kecewa dengan kejadian itu, beliau mendakwa cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak hospital namun gagal memperoleh jawapan memuaskan sebelum membuat laporan polis pada 10 April lalu.








































