Seramai 113 pelarian termasuk kebanyakannya warga Rohingya yang sebelum ini ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kini sudah dipindahkan ke lokasi baharu di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pemindahan itu dilakukan ke destinasi yang diuruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 66 pelarian ditempatkan di Kuala Lumpur, 29 orang di Selangor manakala 18 lagi dipindahkan ke Pulau Pinang.
“Polis sudah melepaskan semua pelarian terbabit ke destinasi yang diuruskan oleh NGO dan pihak UNHCR sendiri.
“Destinasi pilihan pelarian terbabit adalah ke Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang semula berdasarkan kenalan dan saudara mara mereka di destinasi terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seramai 113 pelarian kebanyakannya warga Rohingya yang ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur, dipindahkan ke lokasi lain yang ditetapkan oleh sebuah NGO.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, kumpulan berkenaan dibenarkan bergerak keluar dari IPK kira-kira jam 4 petang ke destinasi baharu, namun lokasi terbabit tidak didedahkan.
Pada 8.50 malam Isnin, polis memindahkan kumpulan pelarian itu ke IPK Kuala Lumpur bersama wakil pejabat UNHCR selepas mereka berkumpul di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling.
Artikel lain: 110 Etnik Rohingya Berkhemah Depan UNHCR Miliki Kad Pelarian, Dipindah Ke IPK Kuala Lumpur
Kumpulan berkenaan terdiri daripada 36 lelaki dewasa Rohingya, 21 wanita, 31 kanak-kanak lelaki serta 22 kanak-kanak perempuan. Selain itu, terdapat seorang lelaki warga Iraq serta masing-masing seorang wanita Somalia dan Indonesia yang merupakan isteri kepada Rohingya.
Sebelum dipindahkan, mereka dilaporkan berkampung di hadapan pejabat UNHCR selepas tiba di ibu negara pada awal pagi menaiki tiga bas berikutan diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.








































