Kerjasama strategik antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal memperkukuh kesedaran pertahanan dalam kalangan mahasiswa, di samping memberi nilai tambah kepada pembangunan akademik, kepimpinan dan kebolehpasaran pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT).
Nota Kerjasama antara kedua-dua pihak yang dimeterai menjadi asas kepada pelaksanaan program Askar Wataniah di IPT serta usaha memperkasa pembangunan sumber manusia bagi mendukung agenda Pertahanan Komprehensif negara.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan penglibatan mahasiswa dalam Askar Wataniah bukan sahaja memberi manfaat kepada pertahanan negara, malah turut menyumbang kepada pembangunan diri golongan berkenaan.
“Kerjasama ini penting kerana kita mahu penglibatan mahasiswa dalam Askar Wataniah bukan sahaja memberi manfaat kepada pertahanan negara, tetapi turut memberikan nilai tambah kepada pembangunan mahasiswa itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau pada Khamis.
Program hasil kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pengurusan universiti awam itu menghimpunkan seramai 1,885 Pegawai Kadet PALAPES, terdiri daripada 1,218 PALAPES Darat, 389 PALAPES Laut dan 278 PALAPES Udara dari 20 universiti awam tempatan.
Program berkenaan diadakan bersempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Ke-44 yang dijadual berlangsung pada 12 September ini di UniMAP.
Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Nota Kerjasama antara TDM dan KPT yang disempurnakan Panglima Tentera Darat; Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kepten (Kehormat) Datuk Profesor Dr Azlinda Azman.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, antara manfaat utama yang bakal diperoleh mahasiswa menerusi penglibatan dalam Askar Wataniah adalah pembentukan disiplin, daya tahan, semangat kerja berpasukan, kepimpinan dan keyakinan diri.
Selain pembangunan sahsiah, penyertaan dalam program itu juga berpotensi mendapat pengiktirafan sebagai aktiviti kokurikulum dan jam kredit akademik, tertakluk kepada peraturan serta kelulusan Senat IPT.
“Pertama, dalam pembangunan diri dan kepimpinan. Penglibatan dalam Askar Wataniah dapat membentuk disiplin, daya tahan, kerja berpasukan, kepimpinan dan keyakinan diri.
“Kedua, dalam nilai tambah akademik dan kebolehpasaran. Penyertaan dalam Askar Wataniah boleh diiktiraf sebagai aktiviti kokurikulum dan berpotensi mendapat pengiktirafan jam kredit akademik, tertakluk kepada kelulusan IPT,” ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama tersebut turut membawa matlamat lebih besar iaitu membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab mempertahankan negara.
Menurutnya, aspek pertahanan dan patriotisme perlu diperkasakan dalam kalangan generasi muda memandangkan keselamatan negara merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
“Dan ketiga, dalam kesedaran pertahanan dan patriotisme. Kita mahu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memahami peranan mereka dalam keselamatan negara dan bahawa pertahanan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Nota Kerjasama itu turut merangkumi penyelarasan pelaksanaan latihan dan pengiktirafan akademik kepada pelajar yang menyertai Askar Wataniah, termasuk pengiktirafan jam kredit tertakluk kepada kelulusan IPT.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperluas peluang kerjaya kepada pegawai kadet dan lepasan PALAPES.
Antaranya termasuk laluan khas untuk pegawai kadet lepasan PALAPES menyertai Angkatan Tetap menerusi latihan Pegawai Kadet Graduan serta peluang menjalani pertugasan sepenuh masa dalam perjawatan tertentu di ATM.
Beliau berkata, mulai tahun ini, calon PALAPES yang masih aktif turut diberikan pengecualian daripada beberapa ujian tertentu dalam proses pemilihan ke Angkatan Tetap.
“Pengecualian ini selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025. Ini termasuk Ujian Pengetahuan Am, Ujian Kecerdasan Akal, Ujian Kepimpinan dan Merancang serta Ujian Pengucapan Awam,” jelas Mohamed Khaled.
Tambahnya, ATM juga sedang meneliti cadangan untuk memberi peluang kepada Pegawai Kadet PALAPES menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap bagi memberi pendedahan kepada persekitaran tugas sebenar.
Kerjasama itu dilihat sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik antara sektor pertahanan dan pendidikan tinggi dalam membentuk generasi mahasiswa yang berdaya tahan, berdisiplin, berkemahiran serta bersedia menyumbang kepada agenda pertahanan negara.
Pada majlis sama, Mohamed Khaled bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman turut menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Tauliah Kehormat Askar Wataniah kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MINDEF, Dato’ Abdul Hadi Omar yang menerima anugerah pangkat Kolonel (Kehormat) Askar Wataniah.
Turut hadir Ketua Setiausaha MINDEF; Mejar Jeneral (Kehormat) Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM, Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain dan Ketua Staf ATM; Leftenan Jeneral Dato’ Seri Muhammad Huzaimi Sabri serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan ATM.






































