Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, telah membuat satu laporan polis tambahan bagi memohon siasatan terperinci dijalankan terhadap kematian anaknya yang berlaku di kawasan asrama sekolah pada 17 Julai lalu.
Menurut kenyataan media firma guaman Hamid Ismail & Shahlan Jufri yang mewakili Puan Noraidah Lamat, 45, laporan tersebut difailkan pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang susulan maklumat baharu yang diperoleh daripada rakaman perbualan telefon antara Allahyarhamah dan ibunya.
Dalam rakaman itu, Zara memaklumkan terdapat beberapa pelajar senior yang sering mengganggunya semasa berada di asrama.
“Anak guam kami telah memfailkan satu laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara teliti.
“Ini kerana beliau mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara yang mana anaknya memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu atau membulinya.
“Antaranya ialah ‘Kak M’ yang pernah mengugut Zara dengan berkata ‘kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni,’” kata kenyataan tersebut.
Tuduhan Terhadap Ibu Mangsa Adalah Fitnah
Menurut peguam, dalam laporan polis itu, ibu mangsa turut menyatakan keraguan terhadap punca kematian yang didakwa akibat jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah, berdasarkan keadaan fizikal anaknya yang tidak menunjukkan kecederaan luaran.
“Wajah Zara tidak mempunyai kecederaan fizikal, lebam atau luka yang lazimnya berkait dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Ini ditambah lagi dengan tindakan pihak sekolah yang meminta anak guam kami agar tidak membuat laporan polis,” kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, peguam menyatakan bahawa anak guam mereka berpendapat bedah siasat sepatutnya dilakukan sebelum pengebumian bagi membantu siasatan polis.
Namun, bedah siasat tidak dijalankan ketika itu, dan susulan itu satu permohonan telah dibuat agar kubur Allahyarhamah digali semula untuk tujuan inkues.
“Ini kerana tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zara sebelum beliau dikebumikan. Bedah siasat akan membantu siasatan pihak polis dalam menentukan punca sebenar kematian Zara.
“Dalam laporan polisnya, anak guam kami memohon agar kubur Zara digali semula bagi tujuan inkues,” jelas mereka.
Artikel lain: Kes Zara Qairina: Istana Seri Kinabalu Nafi Penglibatan Keluarga TYT Sabah
Dalam kenyataan media berasingan sebelum ini, pihak peguam turut mengesahkan mereka telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu untuk memohon agar satu inkues diadakan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Permohonan itu dibuat bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan adil demi menentukan punca sebenar kematian Allahyarhamah.
Sumber: FB Marhamah Rosli
