Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membatalkan arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk had pembelian sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter, berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pembatalan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026 itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Jun lalu berhubung penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter.
Menurut beliau, langkah itu juga selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak yang turut mula berkuat kuasa hari ini.
“Sehubungan dengan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, adalah diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Azman berkata, KPDN yakin mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.
Artikel lain: BUDI Diesel Diperluas, Pemilik Pikap Dan Jip Terima Tambahan Kuota 100 Liter
Beliau berkata, KPDN turut menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.
Sumber: FB KPDN Laman Rasmi









































