Seorang pelancong dari China diheret keluar dari penerbangan selepas didakwa menepuk punggung seorang pramugari di dalam pesawat Malaysia Airlines pada Rabu.
Kejadian tersebut dirakam dalam video yang dimuat naik pengguna Reddit, MrJasonMason, di mana seorang pramugari dipercayai mangsa menyoal siasat pelaku sebelum beberapa krew mengheret pelaku keluar dari pesawat.
Video berdurasi seminit 44 saat itu memaparkan suasana tegang dengan beberapa penumpang memerhati insiden tersebut dengan penuh kerisauan.
Dalam usaha mempertahankan diri, pelaku dikatakan mengaitkan China dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik.
“Hubungan China-Malaysia sangat bagus sekarang ini,” katanya.
Namun, kenyataan itu sudah tentu tidak diterima sebagai alasan kerana tiada kaitan dengan salah laku individu terbabit.
Tindakan tegas ini menunjukkan bahawa keselamatan dan integriti pramugari serta penumpang tetap menjadi keutamaan syarikat penerbangan, tanpa mengira status atau kewarganegaraan.
Sumber: Reddit






































