Dua lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan insiden letupan mercun yang mencederakan 22 orang awam dalam satu kejadian di Jalan Paya Besar, di sini pada malam Isnin.
Menurut laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kejadian berpunca daripada tindakan cuai suspek yang dipercayai memasang mercun secara terbalik ke dalam sebuah bekas silinder di tepi jalan.
“Salah seorang suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika dia memasukkan mercun jenis kelapa ke dalam bekas tersebut. Mercun itu dibeli dari sebuah khemah berhampiran dengan harga RM200,” katanya.

Foto: Kosmo!
Tambah beliau, letupan berlaku apabila rakan kepada suspek menyalakan sumbu mercun tersebut.
Artikel lain: Pekerja Maut Akibat Kepala Terhentak Tayar Ketika Isi Angin
Namun, disebabkan ia diletakkan dalam posisi terbalik, letupan kuat berlaku dari bahagian bawah lalu mencederakan puluhan orang awam yang berada berdekatan.
Dalam kejadian itu, 22 individu mengalami kecederaan seorang mangsa dilaporkan parah di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Foto: Sinar Harian
Zulkifli turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti penjual terbabit dan telah mengambil keterangan daripada sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terlibat.
“Kita akan membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 kerana memiliki atau menggunakan bahan letupan secara tidak sah, serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas sebab mencederakan orang menggunakan senjata atau bahan berbahaya.
Sumber: Kosmo!
