Pelarian tidak seharusnya dipersalahkan atas isu kos sara hidup dan keselamatan yang berpunca daripada pelbagai faktor ekonomi, sistemik dan global, kata Ketua Pejabat United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) di Malaysia, Louise Aubin.
Beliau berkata, terdapat pelbagai fakta telah dikemukakan oleh pihak berkuasa kepada umum bagi membetulkan salah tanggapan terhadap komuniti pelarian.
“Jumlah mereka sebenarnya kecil, namun mereka tetap memerlukan sokongan… salah tanggapan terhadap pelarian ini bukan hanya berlaku di Malaysia.
“Ia kelihatan seperti satu trend global di mana pelarian dijadikan sasaran bagi kebimbangan dan keresahan masyarakat secara umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Kuala Lumpur: Solidariti Bersama Pelarian di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), sempena Hari Pelarian Sedunia yang disambut setiap 20 Jun.
Aubin berkata, terdapat kira-kira 220,000 pelarian berdaftar di Malaysia dan jumlah itu adalah kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan populasi negara.
Mengulas isu keselamatan, beliau merujuk kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail bahawa trend jenayah membabitkan etnik Rohingya di negara ini adalah rendah.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri telah mengemukakan fakta yang sangat membantu kepada orang ramai bahawa pelarian bukan penyumbang kepada kadar jenayah di Malaysia,” katanya.
Menurut Mohd Khalid, sebanyak 89 individu daripada etnik berkenaan direkodkan terlibat dalam kes jenayah bagi tempoh 2024 hingga tahun ini, iaitu hanya 0.02 peratus daripada keseluruhan statistik jenayah negara.
Namun begitu, Aubin menegaskan semua pelarian wajib mematuhi undang-undang negara dan tidak mempunyai sebarang kekebalan daripada tindakan undang-undang.
Katanya, wujud prinsip saling menghormati antara negara tuan rumah dan pelarian yang perlu dipatuhi kedua-dua pihak.
“Justeru, wujud satu bentuk saling menghormati antara negara tuan rumah dan pelarian. Ia hampir seperti satu kontrak sosial antara kedua-dua pihak,” katanya lagi.
Beliau berkata, pelarian tidak pernah memilih untuk meninggalkan negara asal mereka, sebaliknya terpaksa berbuat demikian demi keselamatan diri dan keluarga akibat konflik serta penganiayaan.
Dalam pada itu, Aubin turut menyambut baik usaha kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Katanya, inisiatif itu merupakan langkah penting bagi memperkukuh proses pengenalpastian, pendaftaran dan dokumentasi pelarian secara lebih tersusun, sekali gus menyokong perlindungan serta penyelesaian jangka panjang.
“Saya percaya usaha ini memerlukan keutamaan serta sokongan penuh daripada semua pihak pada masa hadapan,”ujar beliau.
Beliau turut menegaskan tidak semua individu yang datang ke Malaysia layak diiktiraf sebagai pelarian, kerana pengiktirafan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar berdepan risiko pencabulan hak asasi manusia atau ancaman nyawa jika pulang ke negara asal.
Menurutnya, UNHCR menjalankan proses saringan ketat termasuk temu bual serta semakan silang maklumat dengan pejabat organisasi itu di peringkat antarabangsa.
“Ia bertujuan untuk memastikan identiti individu berkenaan serta dakwaan mengenai sebab mereka melarikan diri adalah benar dan dapat disahkan,”jelasnya.
Sumber: Malaysia Gazette
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































