Polis Selangor mengesahkan pemandu van syarikat keselamatan yang terbabit dalam kes cubaan rompak di Bandar Bukit Tinggi, Klang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika proses diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu bukan individu yang tular di media sosial selepas diacukan objek menyerupai pistol oleh suspek dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Isnin.
“Saya sahkan maklumat itu. Memang ada kes kematian seorang daripada petugas keselamatan ketika sedang ditemubual di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
“Semasa temubual, mangsa rebah dan pengsan. Seterusnya apabila dibawa ke hospital, mangsa disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat selesai dijalankan semalam dan setakat ini akibat masalah jantung.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu van, bukan individu yang tular dengan suspek di luar van,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Mengulas perkembangan siasatan, Shazeli berkata, proses mengambil keterangan dijalankan pada sebelah malam selepas kejadian, namun sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat.
“Setakat ini belum ada tangkapan tetapi kita sudah mendapat beberapa petunjuk positif.
“Sejurus ada tangkapan, kejayaan ataupun maklumat lain, kita akan kongsikan. Setakat ini suspek masih belum dapat dikenal pasti,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berjaya menggagalkan cubaan rompakan membabitkan wang tunai berjumlah RM82,000 di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin.
Artikel lain: Pemandu Van Sekuriti Dikhabarkan Meninggal Dunia Selepas Insiden Cubaan Disamun
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, petugas syarikat keselamatan sedang memindahkan wang tunai ke dalam van sebelum dihampiri seorang lelaki memakai jaket gelap dan topi keledar yang mengacukan objek menyerupai pistol revolver.
Bagaimanapun, petugas terbabit sempat bertindak pantas dengan meletakkan beg berisi wang tunai ke dalam van sebelum segera menutup pintu kenderaan, sekali gus menggagalkan cubaan suspek melarikan wang tersebut.
Polis kini giat mengesan suspek dengan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari bank dan premis berhampiran, selain meneliti rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































