Penantian bertahun-tahun peminat akhirnya berakhir apabila penyanyi dan pelakon muzikal terkenal Korea Selatan, XIA (Kim Junsu), mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia menerusi XIA 6TH ASIA TOUR CONCERT ‘GRAVITY’ IN KUALA LUMPUR, baru-baru ini.
Konsert berdurasi kira-kira dua jam 30 minit itu bukan sahaja menjadi pentas XIA melepaskan kerinduan terhadap peminat tempatan, malah turut dipenuhi pelbagai momen istimewa yang mencetuskan sorakan gemuruh sepanjang persembahan.
Selain mempersembahkan deretan lagu popular, penyanyi berusia 39 tahun itu turut mencuri perhatian apabila berkongsi keterujaannya untuk menikmati durian sebelum pulang ke Korea Selatan.
“Saya sukakan durian dan berharap dapat menikmatinya sebelum pulang ke Korea,” katanya ketika berinteraksi bersama peminat.
Sepanjang konsert, XIA mempersembahkan barisan lagu seperti Beat’s Knockin, eXtreme Love, HANA, Pit A Pat, Forest of Memories, My Night, Slowly, Homage, Reach, Red Diamond, XIAHTIC, ROCK THE WORLD, GRAVITY dan INCREDIBLE.
Antara segmen yang paling mendapat perhatian ialah persembahan GRAVITY, iaitu lagu utama daripada album penuh terbaharunya.
Menurut XIA, meskipun peminat sudah mendengar beberapa lagu tersebut menerusi platform penstriman, konsert itu menjadi kali pertama beliau membawakannya secara langsung dalam siri konsert solo.
“Walaupun anda mungkin sudah mendengar lagu-lagu ini secara dalam talian, inilah kali pertama saya dapat mempersembahkannya secara langsung dalam konsert solo,” ujarnya.
Beliau berkata, setiap lagu dipilih secara teliti bagi memastikan peminat di Malaysia dapat menikmati pengalaman konsert yang lebih bermakna.
Dalam masa sama, XIA turut membuktikan reputasinya sebagai artis yang dekat dengan peminat apabila tidak lokek melayan pelbagai permintaan spontan sepanjang persembahan berlangsung.
Beliau bukan sahaja menari mengikut lagu ikonik Mirotic, malah menghidupkan semula beberapa karakter muzikal yang pernah dibawakan sebelum ini.
Lebih mencuri perhatian, XIA turut memenuhi permintaan seorang peminat dengan menyanyikan lagu secara spontan sambil membaca lirik menerusi telefon bimbit peminat berkenaan.
Suasana turut bertukar sebak apabila penyanyi itu meluahkan penghargaan terhadap sokongan yang diterimanya selama ini selepas menerima pelbagai hadiah dan snek tempatan daripada peminat.
XIA berkata, sokongan berterusan daripada peminat menjadi sumber kekuatan untuk terus berkarya, termasuk dalam dunia teater muzikal yang disifatkannya sebagai satu bidang mencabar.
Usaha dan dedikasinya dalam bidang itu membuahkan hasil apabila beliau menerima pelbagai pengiktirafan serta anugerah menerusi persembahannya dalam muzikal Beetlejuice.
Kemunculan semula XIA di Malaysia menerusi konsert solo sulungnya itu sekali gus mengubat kerinduan peminat yang sekian lama menantikan peluang untuk menyaksikan penyanyi berkenaan membuat persembahan secara langsung di negara ini.














































