Isu pemain warisan Malaysia, yang didakwa terlibat dengan pemalsuan dokumen semakin panas apabila salah seorang daripada tujuh pemain itu tersasul ketika mengadakan sesi temu bual dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Memetik laporan Berita Harian, perkara itu dikongsikan oleh FIFA menerusi temu bual bersama pemain terbabit yang dirujuk sebagai ‘Pemain 1’ dalam laporan alasan penuh Jawatankuasa Rayuan badan bola sepak dunia, hari ini.
Tersasul ketika temu bual
Menurut laporan, kesilapan pemain itu adalah gagal memaklumkan mengenai negara asal neneknya yang menimbulkan keraguan dalam siasatan jawatankuasa berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain terbabit.
“Berhubung ‘Player 1’, dia tidak dapat menyediakan salinan dokumen yang diserahkan kepada ejennya semasa makan bersama bapanya.
“Ini menyebabkan pemeriksaan hanya kepada (a) sijil kelahiran neneknya, Maria Belen Concepcion Martin, lahir pada 16 Mei 1956, yang dikemukakan oleh FAM dalam siasatan kelayakan, (b) sijil kelahiran yang diperoleh oleh pentadbiran FIFA dan (c) sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.
“Dalam hal ini, jawatankuasa menganggap kenyataan Pemain 1 semasa pendengaran adalah amat penting. Dia adalah pemain terakhir yang ditemubual.
“Jawapan pertamanya kepada soalan mengenai tempat kelahiran neneknya ialah Sepanyol tetapi kemudian membetulkan dan menyatakan ‘Malaysia’.
“Kata-kata tepatnya ialah: “Datuk saya dilahirkan di Venezuela dan nenek saya di Sepanyol… Maksud saya Malaysia, maaf”,” jelas FIFA dalam kenyataan.
Berdasarkan laporan penuh setebal 64 muka surat itu, Player 1 yang disebut itu merujuk kepada Gabriel Felipe Arrocha atau Gabriel Palmero dan nama neneknya, Maria Belen Concepcion Martin disebut dalam laporan itu.
Artikel lain: Rayuan Ditolak! FIFA Arah FAM Dedah Dalang Isu Pemalsuan Dokumentasi 7 Pemain Warisan
Terdahulu, FIFA merekodkan, FAM mengakui terdapat pegawai pentadbiran yang terlibat dalam “mengurus, menyunting dan mengubah” salinan sijil lahir pemain sebelum dihantar ke FIFA, menjadikan FAM sebagai pusat manipulasi dokumen tersebut.
FIFA menyatakan bahawa salah satu sijil lahir yang dihantar FAM adalah “forged as confessed by the FAM”, iaitu dipalsukan seperti yang diakui sendiri oleh FAM.
FIFA menegaskan, pemalsuan dokumen kelahiran untuk tujuan kelayakan pemain merupakan serangan terhadap integriti bola sepak, sambil memberi amaran tindakan lebih keras boleh menyusul jika kes seumpama berulang.
FAM sebelum ini memaklumkan, akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sumber: Berita Harian (Zulfaizan Mansor)







































