Kementerian Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar tingkatan empat yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Sendayan, pagi tadi.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata siasatan awal setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan kejadian tersebut dengan unsur buli atau gangguan di sekolah.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada keluarga, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan baik sebelum hadir ke sekolah.
“Setakat ini, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibu dan bapa arwah, tidak timbul sebarang isu buli atau perkara luar biasa yang ditunjukkan oleh pelajar itu sebelum kejadian berlaku.
“Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah sedang meneliti kes ini secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau, malam ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut menziarahi keluarga mangsa di hospital berkenaan.
Mohd. Azam berkata, ketika kejadian, bapa mangsa turut berada di sekolah kerana menghadiri sesi perjumpaan bersama ibu bapa.
“Ketika kejadian ini berlaku, bapa arwah juga ada di sekolah. Cuma takdir menentukan, waktu bapa hendak datang ke kelas, arwah telah meminta izin untuk ke tandas dan daripada situlah dimaklumkan ada kemalangan ini telah berlaku,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sokongan psikososial akan disalurkan kepada keluarga mangsa, rakan sekelas serta guru yang terkesan akibat insiden itu.
Artikel lain: Dipercayai Mahu Ambil Kasut Atas Bumbung, Murid Tahun 5 Jatuh Bangunan Sekolah
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau rakaman kejadian bagi menghormati privasi keluarga mangsa.
“Kami berharap masyarakat dapat memberikan ruang dan menghormati privasi keluarga dalam tempoh yang amat mencabar ini serta mendoakan yang terbaik buat arwah dan keluarganya,”ujar beliau.
Menurut beliau lagi, proses bedah siasat telah dijalankan dan pihak polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.










































