Tular di media sosial, video Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menari semasa lawatan beliau ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mencuri perhatian dunia apabila meraih lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform.
Video Trump menari raih perhatian
Video yang dirakam oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden, Margo Martin, memaparkan Trump menari serta berinteraksi mesra dengan delegasi sambil mengikut rentak muzik tempatan, sekali gus memaparkan sisi santai pemimpin itu.
Menurut Penasihat Trump, Alex Bruesewitz, video berkenaan mencatat angka luar biasa di semua platform media sosial rasmi Trump.
“Video yang dirakam oleh @margomartin memaparkan Presiden Trump menari di Malaysia melepasi satu juta tanda suka dalam Instagram @TeamTrump dan meraih 21.5 juta tontonan. Video itu turut menerima 17.1 juta tontonan menerusi Facebook dan 9.3 juta di TikTok.
Trump ialah pemimpin dunia dan raja media sosial,” katanya dalam hantaran X pada Isnin.
Trump menari jadi rakaman paling disukai
Margo Martin yang turut memuat naik video tersebut berkata, momen itu menjadi antara rakaman paling disukainya sepanjang bertugas bersama Trump.
“Lapan tahun bersama dengan Presiden Trump dan mungkin inilah video kegemaran saya setakat ini,” katanya.
Ramai yang memberikan respon
Video itu menerima pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang memuji sikap mesra dan bersemangat Trump semasa berada di Malaysia.
“Realitinya ialah Trump menyayangi rakyat dan ia jelas kelihatan. Mereka juga menyayanginya,” tulis pengguna X, @KarlDHarrison.
“Beliau banyak mengembara, tetapi masih mempunyai tenaga untuk berhenti seketika dan menari dengan gembira. Perkara ini membuatkan saya tersenyum,” kata @kellyannelu.
Artikel lain: “Tandatangan Pelan Damai.. Tiada Perang! Jutaan Nyawa Diselamatkan” – Trump
Untuk rekod, Trump tiba di Malaysia pada Ahad lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebelum berlepas pulang pagi tadi.
Lawatan ini merupakan kunjungan julung-julung kali beliau ke Malaysia sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden, menjadikan Trump Presiden AS ketiga dalam sejarah melawat Malaysia selepas Lyndon B. Johnson dan Barack Obama.
Dengan Malaysia kini sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, aksi menari Trump bukan sahaja menceriakan suasana diplomatik, tetapi turut menjadikan Malaysia tumpuan dunia — kali ini bukan kerana sidang, tetapi kerana tarian seorang presiden yang tular di media sosial.











































