Suria KLCC hari ini mengeluarkan penjelasan rasmi berhubung sebuah video tular yang memaparkan interaksi antara anggota keselamatan mereka dengan seorang pengunjung di salah sebuah pintu masuk.
Menurut pihak pengurusan, insiden berlaku apabila seorang pengunjung diminta untuk tidak membawa masuk sebatang kayu panjang ke dalam pusat beli-belah.
“Tindakan ini adalah selaras dengan prosedur keselamatan kami yang melarang barangan yang berpotensi mendatangkan risiko keselamatan atau mengganggu keselesaan para pengunjung,” jelas kenyataan rasmi itu.
Suria KLCC Perjelas Tindakan Halang Aktivis
Tegas pihak pengurusan Suria KLCC, langkah keselamatan ini adalah piawai dan dikenakan kepada semua pengunjung, tanpa sebarang pendirian politik.
Keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan mereka.
Artikel lain: Raja Salman Dilapor Taja 1,000 Rakyat Palestin Tunai Haji
Dalam kenyataan yang sama, pengurusan menyatakan pihaknya menghargai kerjasama serta pemahaman orang ramai dalam mengekalkan persekitaran yang selamat dan teratur pengunjung.
Walaupun insiden ini tular di media sosial, pihak pengurusan menekankan bahawa tindakan itu tidak ada kaitan dengan isu luar negara termasuk situasi di Gaza atau Palestin, sebaliknya semata-mata berfokus kepada keselamatan pengunjung.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan aktivis kemanusiaan dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bersama beberapa aktivis yang membawa bendera Palestin diarahkan keluar oleh pihak pengurusan.
Menerusi perkongsian di Instagram, kumpulan terbabit dipercayai baru selesai menyertai perhimpunan aman solidariti Palestin di sekitar ibu kota sebelum singgah di Suria KLCC.
Mereka turut dilihat melaungkan slogan Free Palestin sambil membawa bendera sebelum dihampiri pengawal keselamatan.
Sumber: FB Suria KLCC
