Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menjamin keselamatan fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) di Bintulu, Sarawak, susulan laporan mengenai potensi ancaman terhadap kemudahan tenaga utama negara itu.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua fasiliti LNG telah diarahkan memperketat kawalan keselamatan serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga.
“Langkah itu penting bagi memberi ruang kepada pihak keselamatan dan agensi berkaitan menjalankan siasatan lanjut terhadap ancaman yang diterima,” menurut MKN.
Kerajaan Perketat Kawalan Fasiliti LNG
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.
Artikel lain: 7 Lelaki Dari Indonesia Ditahan Maritim Malaysia, Ceroboh Pelantar Minyak Di Perairan Terengganu
Tambah kenyataan, MKN turut memberi jaminan semua agensi keselamatan negara berada dalam keadaan siap siaga serta telah mengambil langkah kawalan sewajarnya.
“Setakat ini, tiada sebarang gangguan operasi atau insiden tidak diingini dilaporkan, manakala pemantauan berterusan sedang dijalankan.
“Orang awam disaran agar hanya merujuk kepada maklumat rasmi daripada pihak berkuasa dan mengelak daripada menyebarkan berita tidak sahih,” menurut kenyataan itu lagi.
Sekadar info, Bintulu merupakan lokasi strategik bagi kemudahan LNG Malaysia dan menjadi hab utama eksport tenaga negara.
Sehubungan itu, langkah memperkukuh keselamatan dilihat penting bagi memastikan operasi tidak terjejas serta keselamatan pekerja dan masyarakat sekitar terus terjamin.
Sumber: FB Majlis Keselamatan Negara
