Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan penerbangan KT051 (MH8110) melakukan pendaratan berjaga-jaga di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada jam 4.11 petang waktu tempatan selepas dikesan berdepan isu teknikal.
Menurut TH, kesemua 278 jemaah haji yang berada di dalam pesawat berkenaan berada dalam keadaan selamat dan pihak keluarga diminta agar tidak bimbang.
Penerbangan tersebut sebelum itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.06 petang waktu Malaysia, Isnin (4 Mei), dengan destinasi akhir di Jeddah sekitar jam 5.50 petang hari yang sama.
“Pihak AMAL by Malaysia Airlines akan membuat penilaian ke atas pesawat sebelum membuat keputusan selanjutnya tentang penerbangan,” tambah kenyataan itu lagi.
TH turut memaklumkan semua jemaah akan ditempatkan di hotel sementara menunggu penerbangan seterusnya ke Jeddah, dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sumber: FB Tabung Haji








































