Hubungan pertahanan Malaysia dan Kemboja terus diperkukuh apabila kedua-dua negara mengambil langkah memperluas kerjasama strategik demi memastikan kestabilan rantau ASEAN kekal terpelihara.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, TYT Jeneral Tea Seiha di Phnom Penh dengan tumpuan utama terhadap hala tuju kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin disambut dengan penuh istiadat ketenteraan sebaik tiba di Kementerian Pertahanan Kemboja bagi kunjungan hormat kepada TYT Jeneral Tea Sieha, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah perkembangan rundingan draf Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan Malaysia Kemboja yang dilihat mampu membuka peluang baharu dalam memperkukuh hubungan ketenteraan.
Lebih daripada sekadar sebuah perjanjian, pemuktamadan MoU berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih dinamik termasuk memperkasa penglibatan aktif pegawai tentera Kemboja dalam Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP) yang dilaksanakan secara konsisten setiap tahun.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Thipadei Hun Manet bagi membincangkan usaha mempercepat penyelarasan strategik dalam bidang latihan ketenteraan serta pembangunan industri pertahanan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Kemboja, Samdech Thipadei Hun Manet.
Malaysia dan Kemboja turut mencapai persefahaman untuk terus memperkukuh peranan ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM Plus sebagai platform utama dalam memastikan keamanan Asia Tenggara terus dipelihara.
Kerjasama menerusi mekanisme ASEAN Observer Team (AOT) turut diberi penekanan sebagai bukti kesediaan negara anggota ASEAN untuk saling membantu dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Pertemuan bersama TYT Jeneral Tea Seiha turut menyaksikan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), ancaman siber serta cognitive warfare antara cabaran baharu yang memerlukan kerjasama lebih erat dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Seiring perubahan landskap keselamatan serantau, Malaysia dan Kemboja turut komited memperkukuh kerjasama pertahanan dalam bidang-bidang baharu termasuk latihan peperangan hutan, industri pertahanan, AI dan teknologi dron.
Segala usaha ini perlu terus berpaksikan prinsip ASEAN Centrality dan autonomi strategik ASEAN demi memastikan rantau ini terus aman, stabil dan makmur.
Mohamed Khaled turut menyatakan harapan agar gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand dapat terus dikekalkan.
“Walaupun Malaysia bukan lagi Pengerusi ASEAN pada tahun ini, komitmen negara untuk terus menyokong keamanan dan kestabilan rantau ini kekal tidak berubah,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook rasmi.
Pertemuan di Phnom Penh ini menjadi kesinambungan usaha Malaysia memperkukuh jaringan pertahanan bersama negara ASEAN, selari dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa.
Dengan hubungan yang semakin erat antara Kuala Lumpur dan Phnom Penh, Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam membina kerjasama keselamatan serantau yang lebih kukuh.
“Saya yakin kerjasama yang terus diperkukuh ini akan mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan Kemboja, selari dengan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terus berkembang menjelang ulang tahun ke-70 hubungan rasmi pada tahun 2027,” kongsinya.
Turut hadir dalam delegasi Malaysia ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dato’ (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani bin Daud.










































